suria

Keluar Islam: Mahkamah dengar rayuan esok

PULAU PINANG: Mahkamah Rayuan Syariah Pulau Pinang menangguhkan sehingga esok untuk mendengar rayuan Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP) terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Syariah Pulau Pinang pada Mei lepas yang membenarkan seorang wanita keluar Islam.

Mahkamah membuat keputusan itu hari ini setelah keduadua pihak, plaintif dan responden, gagal mengemukakann hujah masingmasing secara bertulis kepada mahkamah.

Panel tiga hakim Syarie diketuai Datuk Ibrahim Lembut yang bersidang bersamasama Datuk Abu Bakar

Ahmad dan Datuk Muhammad Asri Abdullah menangguhkan perbicaraan rayuan itu bagi memberi masa kepada semua pihak meneliti hujan yang akan dikemukakan.

Hakim Ibrahim yang melahirkan rasa kesal atas kegagalan mengemukakan hujah itu menegur pihak terlibat supaya mengambil perhatian terhadap setiap arahan mahkamah.

"Tidak sepatutnya berlaku kesilapan ini. Perkara ini perlu diberi perhatian serius," katanya.

Pada 4 Disember lepas, Mahkamah Rayuan Pulau Pinang menangguhkan perbicaraan itu bagi membolehkan responden, Siti Fatimah Tan Abdullah, 39, mendapatkan salinan rekod rayuan yang difailkan oleh MAIPP itu.

Mahkamah juga membenarkan plaintif dan responden untuk mengemukakan hujah masingmasing secara bertulis berhubung rekod yang difailkan oleh MAIPP.

Pada Mei lepas, MAIPP mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Syariah Pulau Pinang yang membenarkan permohonan Tan atau nama sebenarnya Tan Ean Huang untuk keluar daripada agama Islam setelah mendapati wanita itu tidak mengamalkan ajaran Islam sejak memeluk agama itu pada 25 Julai 1998.

Dalam pernyataan tuntutannya yang difailkan pada 10 Julai 2006, Tan berkata dia tidak pernah yakin dengan ajaran Islam dan hanya memeluk agama itu sekadar untuk mencukupkan syarat bagi membolehkannya berkahwin dengan seorang lelaki warga negara Iran bernama Ferdoun Ashanian pada 16 Sepember 2004.

Tan, yang pernah bekerja sebagai tukang masak, memfailkan permohonan itu selepas ditinggalkan suaminya yang menghilangkan diri tanpa sebarang sebab.

Dalam tuntutannya, Tan menyatakan bahawa sepanjang memeluk agama Islam, dia masih lagi menyembah berhala dan mengikut ajaran agama asalnya, Buddha, dan masih memakan daging babi.

Pada prosiding hari ini, MAIPP diwakili Peguam Syarie Ahmad Munawir Abdul Aziz manakala Tan diwakili Peguam Syarie, Ahmad Jailani Abdul Ghani. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain