suria

Najib tidak keberatan laksana satu lagi pakej rangsangan

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, beliau tidak keberatan untuk melaksanakan satu lagi pelan pakej rangsangan fiskal bagi negara ini jika ekonomi bertambah buruk pada 2009.

"Keutamaan saya ialah saya benar-benar mahu menyelamatkan rakyat dari perlu menghadapi kesukaran jika ekonomi sebenar menerima kesan," katanya dalam satu temubual yang diterbitkan dalam terbitan terbaru mingguan "The Edge business."

Kerajaan telah melaksanakan pakej rangsangan RM7 bilion pada 4 November untuk mengharungi kesan krisis ekonomi berikutan kemelesetan ekonomi global yang berpunca dari Barat.

Najib, yang juga Menteri Kewangan, berkata jika defisit bajet kerajaan meningkat lebih daripada 5.0 peratus, ia masih boleh diterima asalkan ia untuk tempoh satu atau dua tahun.

Ketika ditanya mengenai jangkaan penurunan perolehan kerajaan berikutan harga minyak mentah dan minyak sawit yang rendah, Najib berkata kerajaan menyedari mengenai perkara itu.

"Sebab itu kita bersikap tegas di segi penetapan satu siling. Sebagai contoh, perbelanjaan kerajaan, oleh pelbagai kementerian, jika mereka memohon perbelanjaan tambahan, mereka akan diberitahu supaya membuat penjadualan semula atau menetapkan projek keutamaan, bahawa mereka perlu melaksanakan projek, iaitu mereka perlu membuat perancangan mengikut siling yang ditetapkan. Kita memandang berat untuk mengekalkan defisit 4.8 peratus," katanya.

Mengenai harga minyat mentah yang lebih rendah, katanya ini dapat dikurangkan berikutan dengan pengurangan sabsidi bahan api dan dengan itu kerajaan menjangka defisit bajetnya berada pada paras yang boleh diuruskan.

Ketika ditanya mengenai cabaran penting yang perlu dihadapinya apabila mengambil alih teraju negara selepas Mac 2009, Najib berkata dalam usaha menetapkan perkara mengikut perspektifnya, Malaysia tidak berhadapan dengan krisis politik atau krisis ekonomi yang serius.

"Sejauh yang berkaitan dengan Malaysia, apa yang dihadapi oleh negara kita ialah kesan kemelesetan global yang memberi kesan buruk terhadap ekonomi kita. Berikutan itu, apa yang perlu dilakukan berikutan jangkaan kemelesetan di segi pertumbuhan dan kemungkinan kesan tersebut termasuk pengecilan perniagaan dan pemberhentian pekerja di dalam sektor swasta.

"Tetapi, kita juga bernasib baik - inflasi dijangka berada pada paras sederhana pada tahun depan. Malah, angka terbaru menunjukkan bahawa kesan yang paling buruk telah berlalu dan kita sepatutnya berupaya untuk mencatatkan inflasi pada sekitar 4.0 peratus atau kurang (pada 2009). Harga bahan api telah turun, yang melegakan rakyat."

Sambil Malaysia menjangka berlaku kemelesetan di segi pertumbuhan ekonomi, Najib berkata negara tidak dijangka terjerumus ke dalam kemelesetan atau kemelesetan teknikal.

Kemelesetan teknikal berlaku apabila tahap keluaran sebenar nasional merosot dalam dua suku tahun berturut-turut yang menyebabkan penguncupan di dalam jumlah volum pengeluaran ekonomi.

"Ini tidak bermaksud kita tidak mengakui kesan krisis berkenaan; kita telah bersedia menghadapi kemungkinan yang buruk sehingga telah menyediakan pelan untuk menanganinya. Dan kita juga mempunyai pengalaman mengharungi krisis kewangan Asia 1997/1998. Ekonomi kita kini lebih kukuh, lebih berdaya tahan. Sistem perbankan kini berada pada kedudukan yang lebih kukuh dan bank terus memberi pinjaman. Tetapi kita perlu sentiasa bersiap sedia; kita perlu memantau keadaan dengan rapi."

Ketika ditanya sama ada kesan ketidaktentuan politik selepas pilihan raya umum Mac, 2008 kini telah reda, Najib mengakui ia telah berkurangan dengan ketara.

"Pertama kalinya, tarikh 16 September telah berlalu dan apa yang dijangka tidak berlaku langsung. Yang kedua, berlaku perubahan kuasa yang licin di dalam Umno dan Barisan Nasional," katanya sambil menyatakan bahawa yang ketiganya ialah kelulusan Rang Undang-Undang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Rang Undang-Undang Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman yang melambangkan "kerajaan yang sangat, sangat berfungi, bukan kerajaan yang tidak berfungsi."

Artikel Lain