suria

Peragut berputih mata, jurukamera pula terkejut

KANGAR: Seorang peragut terpaksa berputih mata apabila dua kali cubaannya untuk meragut seorang suri rumah di sebatang jalan raya di Simpang Empat dekat sini hari ini menemui kegagalan, sebaliknya yang diperoleh hanyalah tangkai beg yang diragut itu.

Suri rumah itu, Che Bon Yob, 56, dari Kampung Pauh Tiga Beradik sedang membonceng motosikal yang ditunggangi anak saudaranya, Norfahani Md Akhir, 17, untuk ke pekan Simpang Empat apabila kejadian berlaku pukul 11.30 pagi di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan Syed Saffi.

Peragut berusia lingkungan awal 20an itu yang hanya memperoleh tangkai beg yang putus dalam cubaan pertama, menendang motosikal itu sehingga terbabas menyebabkan kedua-duanya terjatuh.

Bagaimanapun peragut itu masih gagal mendapatkan beg yang berisi barang kemas bernilai kira-kira RM12,000 dan wang tunai lebih RM100 yang dipegang Che Bon apabila kejadian itu disedari orang ramai.

Cubaan orang ramai mengejar lelaki itu gagal namun mereka mencatatkan nombor motosikal jenis Kriss KBG9043 yang dipercayai palsu.

Siasatan mendapati motosikal yang berdaftar dengan nombor itu dimiliki Ahmad Ali, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Katong dan semasa dihubungi, beliau berkata motosikal itu ada bersamanya di Arau.

Sementara itu jurukamera TV9, Beseri Din yang membuat liputan kes itu terkejut selepas dimaklumkan bahawa alamat pemilik motosikal itu sama seperti alamat rumahnya di Kampung Katong, Arau selain tidak pernah memiliki motosikal itu.

Beseri kemudiannya menghubungi Ahmad yang merupakan jiran sekampungnya yang juga terkejut dengan kejadian itu.

Che Bon, ibu kepada jurufoto Bernama Biro Perlis, Mohd Effendey Harun yang luka pada tangan dan lutut serta lebam di muka membuat laporan polis di Balai Polis Simpang Empat. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain