suria

Gerakan bantah pendirian PAS mengenai hudud

PULAU PINANG: Gerakan membantah usaha PAS bagi melaksanakan undang-undang Hudud di dalam masyarakat berbilang kaum, agama dan budaya, kata Setiausaha Agungnya Teng Chang Yeow.

Katanya DAP dan PKR tidak patut menutup kelemahan mereka kerana isu itu tidak pernah diselesaikan apabila Pakatan Rakyat membentuk kerajaan di lima buah negeri di negara ini.

"Apabila gabungan itu dibentuk dan diumumkan selepas pilihanraya umum 8 Mac, ia secara berkesan menjadikan DAP dan PKR sebagai rakan PAS bagi membantu PAS menjadikan Malaysia sebuah negara teokratik," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Bagaimanapun, beliau meminta semua rakyat Malaysia supaya bersatu menentang visi PAS yang bertentangan dengan semangat dan prinsip Perlembagaan Persekutuan.

Beliau mengulas kenyataan Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa, Ahad lepas, yang menyebut sebagai PAS tidak pernah lupa dengan prinsipnya untuk menegakkan pentadbiran Islam termasuk melaksanakan undang-undang Hudud.

Husam disebut sebagai berkata Kerajaan Kelantan pimpinan PAS sentiasa menganjurkan hari Hudud setiap tahun kerana ia tidak dapat melaksanakan undang-undang kerana keputusan muktamad terletak di tangan kerajaan persekutuan. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain