suria

Polis tahan warga Bangladesh disyaki bunuh rakan senegara

KOTA BHARU: Polis menahan seorang lelaki Bangladesh yang disyaki membunuh seorang rakan senegaranya di Felda Aring 10, Gua Musang, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan ACP Mazlan Lazim berkata lelaki itu ditahan pada pukul 11 malam, kira-kira dua jam setengah selepas polis menerima laporan mengenai kejadian itu daripada orang awam.

"Lelaki berumur 26 tahun itu ditahan di sebuah kawasan ladang ketika beliau cuba melarikan diri," katanya ketika ditemui pemberita di pejabatnya di sini, hari ini.

Menurutnya dalam kejadian itu Oliuddin Normuhamad Paloyan, 26, ditemui mati dengan kesan luka di leher, badan dan peha kiri di dalam sebuah rumah kosong di ladang itu.

Mazlan berkata sebilah parang turut ditemui di kawasan berdekatan dipercayai digunakan oleh suspek untuk menetak leher mangsa di samping kesan kelar di badan dan peha.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman gantung sampai mati mandatori," katanya.

Mazlan berkata Oliuddin yang bekerja sebagai buruh kira-kira 16 bulan lalu merupakan kawan baik kepada suspek dan sering meminjam wang darinya.

Pembunuhan itu dipercayai berpunca daripada soal hutang yang belum dijelaskan berjumlah RM1,900 yang dipinjam secara beransur sejak Oliuddin bekerja di ladang itu.

"Siasatan awal mendapati suspek marah kerana Oliuddin gagal menjelaskan hutang yang dipinjam, dan hanya sanggup membayar RM700 terlebih dahulu," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain