suria

Cuepacs mahu cuti bersalin 84 hari

PETALING JAYA: Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mahu mengemukakan semula tuntutan meminta kerajaan menambah kemudahan cuti bersalin kepada 84 hari.

Badan induk kesatuan sekerja awam itu, yang pernah memohon tambahan cuti bersalin dua tahun lalu, mahu menghidupkan semula tuntutan tersebut ekoran keputusan kerajaan mengurangkan cuti tahunan lima hari mulai 1 Januari ini.

"Ekoran perkembangan terbaru kerajaan mengurangkan cuti tahunan selama lima hari, kami menerima banyak maklumas balas dan cadangan agar cuti bersalin dikaji semula dan dinaikkan menjadi 84 hari," kata Presiden Cuepacs, Omar Osman ketika dihubungi.

Kini cuti bersalin kakitangan awam ialah 60 hari.

Kata beliau, Cuepacs telah menghantar memorandum tuntutan berhubung isu itu pada 2006 dan 2007 tetapi tiada kemajuan sejak itu.

"Kami merasakan sudah tiba masa kerajaan mengkaji semula kemudahan cuti bersalin memandangkan kaum wanita memerlukan cuti tambahan untuk tujuan menguruskan anak mereka yang baru lahir," katanya.

Kira-kira 45 peratus daripada 1.2 juta kakitangan awam merupakan kaum wanita.

Jelas Omar, pengurangan cuti lima hari tidak membebankan ataupun memberi kesan kepada kakitangan lelaki tetapi bagi kaum wanita, mereka memerlukan kemudahan cuti yang selesa.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain