suria

Jenazah Surinah dibawa Indonesia dalam seminggu

KUALA LUMPUR: Jenazah Surinah, pembantu rumah rakyat Indonesia yang maut dalam kejadian tanah runtuh di Taman Bukit Mewah dan Taman Bukit Utama, di Bukit Antarabangsa semalam, akan hanya dapat dibawa pulang ke negara asalnya setelah selesai segala urusan dokumentasi.

Pegawai khas diplomatik Kedutaan Indonesia, Amiruddin Pandjaitan berkata, beliau baru mendapat maklumat daripada polis bahawa mayat Surinah telah dikenal pasti oleh majikannya, Datuk Farid Ungku Abdul Rahman pagi ini.

Usaha sedang dibuat untuk menghubungi agensi pekerjaan yang membawa Surinah masuk bekerja di negara ini bagi mengetahui mengenai warisnya di Indonesia, katanya kepada pemberita di Hospital Kuala Lumpur (HKL) hari ini.

Amiruddin berkata, selain memerlukan kelulusan daripada polis untuk membawa keluar mayat Surinah dari hospital, pihaknya juga perlu menyelesaikan proses dokumentasi untuk membawa jenazah itu pulang ke Indonesia yang dijangka mengambil masa seminggu.

Sehubungan itu, katanya jenazah Surinah akan disimpan di bilik mayat Jabatan Forensik HKL sehingga segala urusan itu selesai.

Amiruddin turut menafikan laporan berita semalam yang mengatakan beliau kesal dengan tindakan pihak berkuasa Malaysia yang tidak menghubungi kedutaan berhubung penemuan mayat Surinah lewat petang semalam.

Katanya, beliau amat memahami tugas pihak keselamatan yang sibuk menjalankan tugas mencari dan menyelamat mangsa tanah runtuh.

Mayat Surinah, 30an, ditemui pada pukul 7.45 malam di bawah runtuhan rumah banglo di kawasan itu.

Selain Surinah, tiga lagi yang terbunuh dalam kejadian tanah runtuh yang meranapkan 14 banglo di Taman Bukit Mewah dan Taman Bukit Utama itu ialah Shaiful Khas Datuk Shahrudin, 20; Dr N. Yogeswari, 40; dan Eng Yee Peng, 30.

Sementara itu, HKL dalam satu kenyataan berkata, kesemua 18 mangsa tanah runtuh yang dimasukkan ke hospital itu untuk menerima rawatan telah dibenarkan pulang pada hari yang sama.

Selain itu, pada 10 pagi ini, seorang penduduk berumur 70 tahun, iaitu antara penduduk yang diarahkan keluar dari kawasan yang dilanda bencana itu, dimasukkan ke hospital kerana penyakit darah tinggi. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain