suria

UPP rampas lebih 12,000 botol ubat buatan China

PADANG BESAR: Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) merampas 12,285 botol ubat buatan China pelbagai jenis bernilai hampir RM500,000 dipercayai cuba diseludup ke negara jiran dalam sebuah stor haram di Kampung Melayu di sini semalam.

Komander UPP Perlis, DSP Zakaria Abdul Rahman berkata dalam serbuan pukul 5 petang itu, pihaknya telah menemui 20 kotak berisi enam jenis ubatan China tanpa label perakuan Kementerian Kesihatan di stor berkenaan.

Bagaimanapun tiada tangkapan dilakukan.

"Stor itu digunakan sebagai transit menyimpan sebelum barangan itu dibawa ke negara jiran," katanya di sini hari ini.

Beliau percaya ubatan itu dibungkus di Pulau Pinang untuk kegunaan bagi mengubati selesema, gatal dan ubat perangsang seks untuk golongan lelaki.

Antara jenama ubatan yang dirampas itu ialah Chuan Bei Niu Huang Cough Pills, Su Bi Lin, Vall Boon Juie Fong, Zhi Yang Lin, Paiduwan Lin Capsules dan Herbal Purifyer.

Zakaria berkata semua ubatan yang dirampas itu telah diserahkan kepada Jabatan Farmasi Kementerian Kesihatan untuk tindakan lanjut mengikut Akta Racun 1952.

Dalam perkembangan lain, Zakaria berkata UPP telah menahan seorang lelaki tempatan berusia 30 tahun dan merampas 50 guni barangan komponen kenderaan terpakai bernilai RM15,000 dalam satu sekatan jalan raya di Kilometer 27, Jalan Padang Besar, pada pukul 5 petang semalam.

Katanya lelaki itu yang memandu kereta seorang diri dipercayai cuba membawa komponen kenderaan itu ke Thailand untuk diproses sebelum dibawa masuk semula ke negara ini untuk dipasarkan. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain