suria

Tiga lelaki didakwa merompak di Lorong Haji Taib

KUALA LUMPUR: Tiga lelaki hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini terhadap tuduhan melakukan rompakan bersenjata secara berkumpulan di Lorong Haji Taib, Selasa lalu.

Ahmad Fauzi Syarif, 22; R. Sarawanan, 24; dan N. Mogan Dass, 26; dituduh merompak dengan menggunakan pisau secara berkumpulan ke atas tiga lelaki dan menyamun dua buah telefon bimbit dan wang tunai RM1,310.

Mereka didakwa mengikut seksyen 395 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.

Tertuduh juga didakwa melakukan pengurungan salah terhadap mangsa, Afiq Mohammad Yatollah, Adam Azhar dan Izzat Mohamad Afandi, dengan mengunci dan menghalang mereka keluar dari sebuah premis.

Bagi kesalahan itu mereka didakwa mengikut seksyen 342 kanun yang sama dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara setahun dan didenda sehingga RM2,000. Ahmad Fauzi, pekerja kedai permainan video; Sarawanan, penganggur; dan Mogan, penarik kereta; didakwa melakukan kesalahan itu di Lorong Haji Taib di sini, pada pukul 5 pagi, 2 Disember lepas.

Hakim Mohamad Sekeri Mamat membenarkan mereka diikat jamin sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin setiap seorang dan menetapkan kes itu disebut semula pada 9 Januari depan.

Pendakwaan dijalankan oleh Pembantu Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Muttaqin Rabbani Abdullah. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain