suria

Pembuat keranda didakwa tipu CIMB RM110000

KUALA LUMPUR: Seorang pembuat keranda mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan mengemukakan kad pengenalan palsu dan tiga pertuduhan lain menggunakan kad tersebut untuk menipu CIMB Bank Berhad bagi mengeluarkan wang tunai berjumlah RM110,000 daripada akaun seorang ahli perniagaan.

Bagi pertuduhan pertama, Ho Fook Tong, 38, dari Kampung Baru Sungai Chua, Kajang, didakwa menipu pegawai bank Nur Hafiza Rosli, 22, dengan mengemukakan kad pengenalan dan lesen memandu palsu bagi membuka akaun atas nama Mok Kin Fai.

Dia didakwa melakukan kesalahan tersebut di cawangan CIMB Bank Berhad, Kotaraya, di sini, pada 9 Sept lalu.

Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, Ho didakwa menggunakan kad pengenalan palsu di cawangan CIMB Genting Highlands dan kesalahan terakhir di Taman Connaught, Cheras, di sini di mana beliau telah mengeluarkan wang tunai RM50,000, RM10,000 dan RM50,000 dari akaun milik Mok.

Beliau telah melakukan kesalahan tersebut antara 9 Sept dan 19 Sept 2008.

Timbalan Pendakwa Raya Nurul Ashikin Zulkifli menawarkan jaminan sebanyak RM40,000 bagi keempat-empat pertuduhan dengan seorang penjamin.

Peguambela N.Sritharan yang mewakili Ho bagaimanapun meminta mahkamah agar mengurangkan jaminan tersebut atas sebab anak guamnya telah memberi kerjasama yang baik dengan pihak polis sepanjang siasatan.

Hakim Rozana Ali Yusoff membenarkan jaminan sebanyak RM30,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 22 Dis depan untuk sebutan semula kes. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain