suria

Pasangan suami isteri antara ditahan semasa mengemis

KANGAR: Sepasang suami isteri yang cacat penglihatan dan mempunyai anak berjawatan besar adalah antara sembilan yang ditahan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dalam Ops Selamat di sekitar bandar ini malam semalam.

Timbalan Pengarah JKM Perlis Mastura Abdul Rahim berkata pasangan berusia sekitar 60 tahun itu adalah penerima bantuan bulanan jabatan itu sebanyak RM300 setiap bulan.

Siasatan awal mendapati pasangan yang berasal dari Kodiang, Kedah itu juga mempunyai anak yang berjawatan tinggi dalam kumpulan pengurusan dan profesional, katanya.

Mastura berkata berdasarkan aduan orang ramai, JKM mengadakan operasi bersepadu membabitkan lima agensi penguatkuasa yang lain termasuk polis, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Agama Islam Perlis, Majlis Perbandaran Kangar (MPK) dan Jabatan Imigresen. Dalam operasi membabitkan 40 anggota yang bermula pukul 9 malam, JKM menahan sembilan pengemis termasuk dua warga asing yang cacat fizikal, dipercayai telah digunakan pihak tertentu untuk mengaut keuntungan mudah.

"Kami ingin menyelamatkan mereka daripada disalahgunakan. Ada yang mengambil kesempatan daripada kesempitan hidup mereka untuk mendapat keuntungan," katanya di sini hari ini.

Dua Warga Thailand yang cacat fizikal itu diserahkan kepada Jabatan Imigresen bagi tindakan selanjutnya. Mastura berkata ada di antara pengemis yang ditahan itu dipercayai datang dari Pulau Pinang untuk mengemis di pasar-pasar malam di sini kerana ia menjanjikan pendapatan lumayan.

"Kebanyakan mereka merupakan golongan orang kurang upaya (OKU) warga emas dan kehadiran mereka diuruskan oleh pihak tertentu termasuk oleh anggota keluarga sendiri," katanya.

Mereka yang ditahan telah diserah kepada waris-waris dan kaunseling kepada anggota keluarga yang menggunakan pengemis itu turut diadakan. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain