suria

Pemuda Umno Labuan diarah adakan semula persidangan

LABUAN: Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Labuan diarah mengadakan semula persidangan perwakilannya kerana didapati terdapat kesilapan teknikal berkaitan jumlah kertas undi pada mesyuarat yang diadakan pada 1 Nov lepas.

Setiausaha Umno bahagian Labuan Rosman Isli berkata bantahan telah dibuat mengenai wujudnya kesilapan teknikal mengenai kertas undi yang melebihi satu, iaitu kertas undi yang dikira pada mesyuarat itu adalah 98 kertas undi, iaitu melebihi jumlah pengundi yang layak iaitu 97 orang.

Jawatankuasa pengurusan Ibu Pejabat Umno telah mengarahkan pergerakan Pemuda Labuan mengadakan semula mesyuarat perwakilannya, dan mereka dijangka akan mengadakannya minggu depan, katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Pada mesyuarat 1 Nov lepas, Tony Noolan Isli diumum menang ketua Pemuda bahagian itu dengan mendapat 66 undi, sementara pensaingnya Mohd Rafi Ali Hassan mendapat 32 undi.

Sementara itu, Rafi ketika dihubungi Bernama berkata beliau bersyukur dengan keputusan Ibu Pejabat Umno mengarahkan pergerakan Pemuda bahagian itu bermesyuarat semula.

"Saya harap mesyuarat kali ini akan berjalan lancar dan mengikut etika dan peraturan mesyuarat yang telah ditetapkan. Janganlah ada penipuan dan apa-apa dakyah dalam pertandingan kali ini.

"Kita hanya mahu melihat parti yang memperjuangkan hak-hak Melayu ini terus terpelihara dan bersih daripada anasir yang tidak baik," katanya. BERNAMA

Artikel Lain