suria

Rokok dan minuman keras bernilai lebih setengah juta dirampas

KOTA KINABALU: Kastam Diraja Malaysia cawangan Lahad Datu merampas rokok seludup dan minuman keras belum lulus kastam bernilai RM626,480.60 dalam serbuan di sebuah rumah di Lahad Datu pada 13 November lepas.

Serbuan dilakukan pada 5 petang berdasarkan maklumat cawangan Risikan Kota Kinabalu, kata Pengarah Kastam Negeri Datuk Md Yusop Mansor dalam satu sidang akhbar hari ini.

Barangan tersebut dianggarkan melibatkan cukai sebanyak RM2.046 juta, dan kes itu disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 iaitu memiliki barang-barang larangan yang belum lulus kastam, katanya.

"Walau bagaimanapun, tiada tangkapan dibuat dalam operasi berkenaan kerana rumah tersebut hanya digunakan sebagai tempat penyimpanan sementara sebelum barang diedarkan di daerah Lahad Datu," kata beliau.

Sementara itu dalam kes lain, Md Yusop berkata seorang lelaki berumur 57 tahun telah ditangkap dan 60 set parabola bernilai RM70,000 telah dirampas di dalam serbuan di sebuah Taman di Kolombong di sini pada jam 11 pagi tadi.

Md Yusop berkata kes itu disiasat di bawah seksyen 135 Akta Kastam 1967 di mana adalah satu kesalahan bagi sesiapa yang didapati melindungi, menyimpan, membawa, menyembunyikan dan memiliki alat parabola.

Alat parabola adalah dilarang pengimportannya kecuali mendapat kelulusan daripada Sirim Bhd dan diimport secara sah, tambah beliau.

Jika disabit kesalahan di mahkamah, pesalah boleh dijatuhkan hukuman denda minimum 10 kali ganda nilai yang terlibat atau RM50,000 yang mana lebih kecil dan maksima 20 kali ganda nilai yang terlibat atau RM100,000 yang mana lebih tinggi, atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali. BERNAMA

Artikel Lain