suria

Surcaj PosLaju dikurangkan kepada 23 peratus mulai hari ini

KUALA LUMPUR: Pos Malaysia Bhd mengurangkan surcaj bagi barangan PosLaju daripada 23 peratus kepada 25 peratus, berkuatkuasa mulai hari ini, susulan pengurangan berterusan harga bahan api oleh kerajaan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Syed Faisal Albar hari ini berkata pengurangkan surcaj bahan api itu bermakna barangan biasa PosLaju turun 10 sen berbanding kadar lama.

"Pengurangan surcaj itu adalah selari dengan aspirasi Pos Malaysia ke arah meringankan beban pelanggan," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Beliau berkata penjimatan hasil kos bahan api yang rendah itu akan dikembalikan kepada pelanggan menerusi pengurangan surcaj bahan api.

"Pos Malaysia juga menyambut baik usaha kerajaan untuk mengurangkan harga bahan api kerana ia lebih murah untuk orang ramai menggunakan perkhidmatan kurier PosLaju," kata Syed Faisal.

PosLaju mengenakan caj bahan api yang paling rendah iaitu hanya 10 peratus dalam industri kurier setakat 30 Sept, 2008.

Ia memang ketara berbanding syarikat kurier lain yang mengenakan caj 15 peratus mulai Januari 2008 dan 25 peratus mulai Julai.

Syed Faisal berkata Pos Malaysia akan sentaisa menyemak semula surcaj bahan api dan menyelaraskannya apabila didapati sesuai berbuat demikian. BERNAMA

Artikel Lain