Bom Bali: Rayuan saat-saat akhir tidak ubah hukuman mati 3 militan - Semasa | mStar

Bom Bali: Rayuan saat-saat akhir tidak ubah hukuman mati 3 militan

JAKARTA: Tiga militan yang didapati bersalah terbabit dalam kejadian pengeboman Bali, lima tahun lalu, telah melalui kesemua opsyen perundangan dan tidak boleh menghalang hukuman mati daripada dilaksanakan, kata seorang hakim Mahkamah Agung hari ini.

Usaha saat-saat terakhit untuk mencabar aspek perundangan oleh keluarga Imam Samudra, Amrozi Nurhasyim dan Ali Ghufron "tidak akan mengubah ataupun melewatkan pelaksanaan hukuman," kata Djoko Sarwoko.

Mereka dijadual menjalani hukuman dalam waktu terdekat bulan ini.

Ketua Pendakwa Raya tempatan, Muhammad Yamin berkata, mereka telah dipindahkan ke bilik pengasingan di penjara Nusakambangan dan lokasi menjalani hukuman telah disediakan.

Katanya, mereka akan menjalani hukuman pada waktu yang sama tetapi dilokasi yang berlainan.

Langkah-langkah itu dan kehadiran dua ambulans dilihat sebagai petanda pendakwa raya boleh menjalankan hukuman mati pada bila-bila masa.

Sejak Jumaat lalu, pihak berkuasa Indonesia telah meningkatkan tahap keselamatan bimbang pelaksanaan hukuman akan mencetuskan kekacauan.

Keputusan pelaksanaan kepada mereka yang terdiri daripada Imam Samudra dan adik-beradik, Amrozi Nurhasyim dan Ali Ghufron yang merupakan anggota Jemaah Islamiah (JI), sudah dimaklumkan.

"Keselamatan lebih ketat berbanding sebelum ini, lebih ramai anggota polis ditempatkan, oleh itu masa pelaksanaan hukuman semakin dekat," kata jurucakap Peguam Negara, Jasman Pandjaitan kelmarin.

Justeru ketiga-tiga mereka telah ditempatkan di bilik pengasingan.

Minggu lalu kerajaan Indonesia mengumumkan bahawa hukuman ke atas mereka akan dijalankan awal bulan ini.

Semua hukuman mati di Indonesia dilaksanakan oleh skuad penembak dan biasanya dilakukan di lokasi dan waktu yang tidak dinyatakan.

Siri rayuan mereka telah pun ditolak oleh mahkamah.

Malah, kesemua mereka sebelum ini enggan memohon pengampunan daripada Presiden Susilo Bambang Yudhoyono selepas Mahkamah Agung menolak rayuan terakhir mereka.

Hukuman itu dilaksanakan setelah lima tahun Imam Samudra, Amrozi dan Ali didapati bersalah kerana melancarkan serangan bom ke atas kelab malam di Kuta, Bali yang meragut 202 nyawa pada Oktober 2002.

Mereka kini ditahan di penjara yang dikawal ketat di Pulau Nusakembangan iaitu tempat sama hukuman mati akan dijalankan.

Ketiga-tiga mereka bertegas untuk mati syahid kerana menganggap apa yang dilakukan oleh mereka sebagai suatu jihad.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Artikel Lain

Neymar terus kekal di PSG?