suria

Peraturan baru rakyat Malaysia kunjungi Britain

KUALA LUMPUR: Britain akan mengenakan syarat-syarat baru terhadap pelajar, guru, dan pekerja mahir yang mungkin akan menyukarkan peluang pendidikan dan pekerjaan rakyat Malaysia di sana.

Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, negara itu sedang menggubal semula undangundang imigresennya dan akan menguatkuasakannya awal tahun depan.

"Saya akan memaklumkan huraian lanjut mengenai hal ini kepada Kabinet minggu ini, dan langkah-langkah untuk menyebarkan maklumat kepada orang ramai akan dilakukan bersama Kementerian Dalam Negeri," katanya.

Terdahulu beliau merasmikan penubuhan Majlis Alumni Institut Perguruan Bahasa Melayu Malaysia di sini hari ini.

Beliau menyatakan demikian ketika mengulas mengenai lebih 30,000 rakyat Malaysia yang tinggal melebihi tempoh di United Kingdom yang diarahkan pulang.

Mengenai pembebasan penganalisis politik Abdul Razak Baginda daripada tuduhan bersubahat membunuh wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu, Rais berkata, kerajaan Mongolia masih belum menghubungi kementerian itu.

"Jika mereka menghubungi kita, kita akan bantu dalam memberi maklumat, tetapi tidak akan membantah keputusan mahkamah," katanya.

Dalam pada itu, Rais berkata, pendirian Malaysia dalam mengiktiraf Kosovo sebagai negara berdaulat tidak berubah walaupun tidak dipersetujui oleh Serbia.

Beliau berkata, Malaysia akan bersahabat dengan mana-mana negara yang merdeka dan mempunyai perlembagaan sendiri.

"Walaupun Serbia tidak setuju, pendirian kita tidak berubah. Ini selaras dengan pendirian 51 buah negara lain di dunia termasuk Amerika dan sebahagian negara-negara Eropah," katanya.

Serbia mengusir Duta Malaysia ke negara itu, Datuk Saw Ching Hong ekoran keputusan Malaysia mengiktiraf Republik Kosovo sebagai sebuah negara yang merdeka dan berdaulat.

Beliau berkata, tindakan Serbia itu tidak membawa kesan buruk kepada negara kerana urusan yang mempunyai kepentingan Malaysia dan Serbia sama ada daripada segi komunikasi atau perdagangan terlalu sedikit.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain