suria

Pemuda Umno Kepala Batas calonkan Khairy dan Reezal

KEPALA BATAS:Persidangan perwakilan Pemuda Umno Bahagian Kepala Batas hari ini sebulat suara mencalonkan anggota Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin untuk jawatan Ketua Pemuda pada pemilihan parti Mac depan.

Pada persidangan yang dihadiri 256 perwakilan daripada 81 buah cawangan itu, bekas Exco Pemuda, Datuk Reezal Merican Naina Merican turut dicalonkan sebagai Naib Ketua pergerakan itu.

Reezal, yang merupakan bekas naib Ketua Pemuda bahagian, dipilih sebagai Ketua Pemuda bahagian yang baru menggantikan Datuk Ahmad Darus, yang mengosongkan kerusi itu setelah dilantik sebagai Setiausaha Umno bahagian Kepala Batas.

Bekas Anggota Jawatankuasa Pemuda bahagian itu, Nor Faiz Hassan pula dipilih sebagai Naib Ketua Pemuda.

Reezal dan Nor Faiz menang jawatan masing-masing tanpa bertanding.

Pada pemilihan parti Mac depan, Khairy akan menghadapi pertandingan tiga penjuru dengan anggota Parlimen Jerlun Datuk Mukhriz Tun Mahathir dan bekas Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamad Khir Toyo. BERNAMA

Artikel Lain