suria

Keluarga tidak tahu punca Mohd Zaki ditembak

TANAH MERAH:"Dia tak pernah beritahu apa masalah dia walaupun kita tanya", kata Mohd Nawi Daud yang tidak dapat mengagak apakah punca anaknya Mohd Zuki ditembak di negara jiran pagi semalam.

Anaknya itu yang menetap Sungai Golok, Thailand selepas berkahwin dengan wanita warga negara itu merupakan seorang yang pendiam dan tidak banyak cakap sehingga keluarga tidak tahu sekiranya dia berdepan dengan masalah, katanya.

"Sekali-sekala ada dia balik menjenguk anak perempuannya di sini. Memang dari dulu lagi dia memang tak banyak bercakap, sepatah kita tanya, sepatahlah dia jawab.

"Kami di sini tak tahu apa yang menyebabkan dia menerima nasib sebegini," katanya mengenai anak sulungnya itu ketika ditemui pemberita di rumahnya di Kampung Bendang Gok, di sini, hari ini.

Menurut Mohd Nawi, 62, anaknya itu yang bercerai dengan isteri pertama dan keduanya telah berkahwin dengan wanita Thailand kirakira lapan tahun lalu dan kini menjalankan perniagaan kain dan pakaian bersama isterinya itu.

Katanya beliau dan isterinya, Rogayah Mohammad, 59, menjaga anak perempuan Mohd Zuki, Nor Aklima, 15, daripada perkahwinan pertamanya dengan seorang wanita berasal dari Melaka, sejak cucunya itu kecil lagi. Nur Aklima pula berkata bapanya baru melawatnya minggu lalu dan berpesan supaya belajar rajin-rajin.

Dalam kejadian kirakira pukul 11 pagi semalam, Mohd Zuki, 37, maut selepas ditembak penyerang yang menggunakan sebuah motosikal dan sebuah kereta ketika berada di sebuah bengkel untuk membaiki motosikalnya di pekan Sungai Golok. BERNAMA

Artikel Lain