suria

MIC akan berusaha bebaskan lima pemimpin Hindraf

KUALA LUMPUR: MIC akan berusaha mendapatkan pembebasan lima pemimpin Hindu Rights Action Force (Hindraf) yang ditahan mengikut akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sejak Disember tahun lepas, kata presiden parti Datuk Seri S.Samy Vellu.

Katanya tindakan itu adalah atas sifat perikemanusiaan dan juga kerana permintaan keluarga mereka yang ditahan.

"Kami kesian kepada lima orang ini kerana keluarga mereka dan lain-lain telah membangkit perkara ini (berkaitan pembebasan). Sebagai (sifat) kemanusiaan kita ambil tindakan untuk (berusaha) mendapat pembebasan mereka," katanya selepas mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pusat MIC di ibu pejabat parti di sini hari ini.

Samy Vellu berkata demikian sebagai mengulas tindakan kerajaan semalam mewartakan Hindraf sebagai pertubuhan haram. Lima yang ditahan ialah R. Kengadharan, 41, M. Manoharan, 47, V.Ganabatirau, 35, P. Uthayakumar, 47, dan K. Vasantha Kumar, 35.

Ditanya sama ada pengharaman Hindraf akan memberi kesan negatif daripada segi sokongan masyarakat India terhadap parti itu, Samy Vellu berkata MIC mempunyai kekuatannya sendiri dalam memperjuangkan kepentingan masyarakat India.

"Saya tidak fikir ia akan membuatkan kaum India menjauhkan diri (daripada MIC)," katanya. Beliau juga tidak setuju dengan pandangan bahawa langkah mengharamkan Hindraf membuatkan masyarakat India tiada saluran untuk bersuara, kerana katanya, kerajaan telah menubuhkan Jawatankuasa Kabinet, yang bukan sahaja mendengar masalah yang disuarakan masyarakat India tetapi juga mengambil langkah menanganinya.

Samy Vellu juga berkata beliau akan membangkitkan kepada Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak beberapa masalah termasuk kedudukan 22 sekolah Tamil yang dirancang dibina dengan kos RM30 juta tetapi kini menghadapi masalah akibat kenaikan kos mencecah lebih RM100 juta.

Katanya, MIC juga akan mengadakan Rumah Terbuka Deepavali pada 27 Okt di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) mulai pukul 10 pagi hingga 1 tengah hari. BERNAMA

Artikel Lain