suria

Jawatankuasa Pengurusan BN bincang isu penjenamaan semula

KUALA LUMPUR: Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Barisan Nasional (BN) hari ini membincangkan tentang penjenamaan semula BN yang memberi tumpuan kepada penyelidikan dan pembangunan parti.

Presiden Gerakan, Tan Sri Koh Tsu Koon berkata, mesyuarat tersebut membincangkan laporan awal bagi satu daripada empat kumpulan kerja yang ditubuhkan BN dalam usahanya untuk membawa pembaharuan dalam parti.

"Saya dan Datuk Seri Idris Jusoh telah dilantik sebagai penyelaras bersama untuk empat kumpulan kerja yang ditubuhkan dan telah menjalankan beberapa mesyuarat dalam tempoh tiga bulan kebelakangan ini.

"Ia telah menghasilkan laporan awal untuk dibincangkan di jawatankuasa pengurusan."

Justeru, laporan awal pertama telah dibentangkan iaitu mengenai penyelidikan dan pembangunan berhubung pandangan dan persepsi orang awam terhadap BN dan apakah kekuatan dan kelemahan BN.

"Selain itu, (turut dibincangkan) bagaimana kita dapat memperkukuhkan lagi kekuatannya dan membetulkan kekurangan dan kecacatan serta bagaimana pula cara dan gaya untuk menangani sesuatu isu," katanya kepada media di Parlimen, di sini.

Mesyuarat kira-kira satu jam setengah yang bermula 1.30 tengah hari itu dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan dihadiri ketua-ketua parti komponen BN.

Koh berkata, kesemua yang dibincangkan itu melibatkan banyak aspek dan ia belum mencapai hasil yang dapat diumumkan secara rasmi.

Berhubung Hindraf yang diharamkan kerajaan, Koh berkata, keputusan itu diharap tidak menghalang kebebasan bersuara sama ada daripada individu atau kumpulan yang didaftarkan secara sah.

"Isu yang mempengaruhi komuniti India di negara ini patut diatasi dengan cepat dan dan sesuai serta tanpa mengira struktur organisasi, kesahan atau sebaliknya.

"Tindakan yang diambil kerajaan (mengharamkan Hindraf) sepatutnya dilihat secara positif walaupun hasilnya akan mengambil sedikit masa tentang bagaimana isu dan masalah tersebut dapat diatasi ," katanya.

Berhubung kenyataan Ketua Wanita Gerakan, Datuk Tan Lian Hoe yang dalam ucapannya sebelum ini melabelkan kaum Melayu sebagai kaum yang jugamenumpang di negara ini, Koh berkata, kenyataan itu telah disalah ertikan dan partinya akan menghantar surat kepada akhbar yang menyiarkan artikel tersebut untuk memberi penjelasan.

Artikel Lain