suria

Krisis ekonomi PM umum kaji semula projek Najib gesa siap sedia

[DIKEMAS KINI] KUALA LUMPUR: Kerajaan akan mengkaji semula beberapa projek termasuk di kawasan koridor pembangunan wilayah ekoran krisis ekonomi global yang dihadapi sekarang.

Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, langkah mengkaji semula itu akan melibatkan projek-projek yang pembinaannya belum dimulakan, termasuk projek-projek di bawah lima korridor yang telah diumumkan kerajaan sebelum ini.

Jelas beliau, tindakan menangguhkan projek-projek besar perlu terutama projek-projek yang melibatkan kos tinggi memandangkan keadaan ekonomi dunia yang tidak menentu sekarang.

"Kaji semula ini melibatkan semua projek dalam negara, termasuk koridor. Yang mana kita masih boleh laksanakan kita akan teruskan, tetapi yang pembinaannya belum dimulakan, kita tangguhkan.

"Tetapi satu perkara yang kita nampak sekarang ini, kita masih terus mendapat pelaburan daripada negara-negara tertentu kerana pendekatan kita adalah untuk mendapatkan pelaburan daripada negara-negara yang telah kita sasarkan iaitu dari negara-negara yang mempunyai tabungan berlebih untuk melabur dalam projek-projek tertentu di negara ini," katanya.

Abdullah berkata demikian apabila ditanya sama ada kerajaan akan membuat kajian semula terhadap projek-projek besar berikutan kemelesetan ekonomi yang mula melanda beberapa negara besar dunia.

Terdahulu beliau menghadiri majlis penutup Program Semangat Merdeka 2008 dan perasmian Akademi Kenegaraan di Biro Tata Negara di Jalan Bellamy di sini.

Menurut Perdana Menteri, keputusan menangguhkan projek-projek yang terlibat telahpun dibuat baru-baru ini dan ia adalah satu keputusan yang sangat wajar pada masa ini.

Ditanya mengenai prospek negara mencapai pertumbuhan seperti yang diunjurkan, Abdullah berkata, ekonomi Malaysia masih boleh bertahan kerana tahap eksport negara masih berada di tahap yang tinggi dengan imbangan perdagangan yang baik.

"Kadar Ringgit kita juga stabil dan dari segi suasana dalam negara juga semakin baik dan tenteram.

"Di samping itu kita juga telah tentukan pendekatan yang boleh diambil untuk menghdapi situasi sekarang yang boleh mencabar kedudukan kita agar impaknya tidak terlalu buruk," tambahnya.

Ekonomi negara juga, katanya, masih dapat bertahan kerana ia tidaklah terlalu bergantung pada pasaran Amerika Syarikat berikutan langkah-langkah mencari pasaran baru bagi keluaran negara, terutama pasaran dalam negara-negara Asean dan China.

Di KOTA KINABALU, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan mesti bersedia untuk sebarang kemungkinan yang akan berlaku dalam berhadapan dengan kemelut kewangan global pada masa ini.

Beliau berkata walaupun kemelut itu dijangka memberikan impak kepada ekonomi Malaysia, terutamanya tahun depan, ia tidaklah seteruk negaranegara lain kerana Malaysia telah membuat perubahan struktural kepada ekonominya sejak krisis kewangan Asia 10 tahun lepas.

"Kita sedang memantau keadaan itu secara dekat agar kita dapat bertindak menurut apa yang diperlukan," kata beliau dalam ucapannya pada majlis pembukaan Ekspo Antarabangsa Sabah (SIE) 2008 di 1Borneo Hypermall.

Najib berkata apa yang berlaku baru-baru ini dalam dunia kewangan telah sekali lagi membuktikan yang "kita tinggal dalam dunia yang benarbenar dihubungkan dan globalisasi, sama ada kita suka atau tidak".

"Lehman Brothers, Goldman Sachs, Merrill Lynch dan AIG dan banyak lagi mungkin agak jauh dari kita tetapi hakikatnya apabila mereka bermasalah, kebanyakan bahagian dunia juga akan bermasalah," kata beliau.

Najib berkata, oleh yang demikian, Malaysia perlu dipantau, memberi respons dan mengguna pakai strategistrategi perniagaan baru kerana persekitaran perniagaan global sentiasa berubahubah.

"Negara-negara yang suatu masa dulu bukan dalam saingan kita telah menjadi pesaing serius untuk mendapatkan pelaburan asing langsung (FDI), seperti Vietnam, China dan India," kata beliau.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain