suria

Ng Yen Yen yakin kemampuan Mei Fun terajui sayap wanita MCA

KUALA LUMPUR: Calon Naib Presiden MCA Datuk Dr Ng Yen Yen yakin dengan kredibiliti Ketua Wanita MCA yang baru Datin Paduka Chew Mei Fun untuk menerajui kepimpinan sayap wanita parti itu.

Dr Ng, yang tidak mempertahankan jawatan Ketua Wanita pergerakan itu kerana ingin merebut jawatan naib presiden parti, berkata beliau yakin dengan kemampuan Chew kerana mempunyai pengalaman luas dalam pergerakan sayap wanita itu untuk membawa pembaharuan kepada parti.

Chew, yang sebelum itu timbalan ketua pergerakan itu, turut bertanding jawatan anggota Jawatankuasa Pusat Wanita MCA.

"Beliau adalah timbalan saya (Wanita MCA) selama sembilan tahun, jadi saya pasti beliau akan mengambilalih kepimpinan dengan cara yang hebat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan buku "Wanita MCA 33rd years Nation Building" di Wisma MCA, di sini hari ini.

Semalam, Chew memenangi jawatan Ketua Wanita MCA tanpa bertanding selepas pencalonan ditutup bagi pemilihan MCA Pusat, Pemuda dan Wanita. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain