suria

Mukhriz Anggota Pemuda mahukan perubahan

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Jerlun Datuk Mukhriz Mahathir, calon pertama melayakkan diri bertanding jawatan Ketua Pemuda Umno selepas memperoleh 40 pencalonan sehingga kelmarin berkata, sokongan terhadapnya itu adalah mesej jelas yang menunjukkan bahawa perwakilan mahukan perubahan.

Beliau seterusnya berharap lainlain bahagian akan turut mencalonkannya sekiranya mereka juga mahukan perubahan.

"Saya amat berterima kasih dan berbesar hati terhadap keyakinan yang diberikan kepada saya perwakilan dari bahagian-bahagian... Saya rasa ia adalah tanda bahawa perkilan mahukan perubahan dan mereka melihat saya mewakili mereka," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini hari ini.

Mukhriz berkata, kejayaan mendapatkan pencalonan yang banyak dalam tempoh yang singkat adalah amat mengejutkan, dan katanya beliau berharap momentum itu akan berterusan.

Berhubung kemungkinan pertandingan tiga penjuru, Mukhriz berkata, beliau percaya Naib Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin dan bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr. Mohd Khir Toyo akan layak bertanding.

"Saya yakin mereka akan mendapat jumlah pencalonan yang mencukupi. Masa masih panjang, dan saya pasti mereka akan layak akhirnya," katanya. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain