suria

MCA Pencalonan selesai persaingan langkah akhir menjelang Sabtu

KUALA LUMPUR: Pertandingan bagi merebut jawatan Presiden MCA Sabtu ini akan menyaksikan perlawanan satu lawan satu antara Naib Presiden sekarang Datuk Ong Tee Keat, yang disifatkan sebagai calon pilihan, dan bekas Naib Presiden Datuk Chua Jui Meng.

Apabila tempoh pencalonan bagi merebut jawatan peringkat kebangsaan di ibu pejabat parti itu berakhir petang semalam, seperti dijangka, hanya dua pemimpin berkenaan menyerahkan borang pencalonan bagi jawatan tersebut.

Pemilihan kali ini menyaksikan persaingan sengit bagi semua jawatan Presiden, Timbalan Presiden, empat Naib Presiden dan 25 kerusi jaswatankuasa pusat (CC).

Ong, yang juga Menteri Pengangkutan, mengemukakan borang pencalonannya sebaik saja proses pencalonan bermula pada 1 tengah hari, manakala Chua, bekas Menteri Kesihatan, menyerahkan borangnya pada kirakira pukul 3.30 petang dan sekali gus mengesahkan pendiriannya untuk mencuba nasib bagi menjadi presiden kelapan parti berusia 59 tahun itu.

Pencalonan ditutup pada 5 petang.

Bagi jawatan Timbalan Presiden, empat tokoh memfailkan borang pencalonan masing-masing.

Mereka ialah Setiausaha Agung MCA, Datuk Seri Ong Ka Chuan; Datuk Seri Chua Soi Lek, Datuk Donald Lim Siang Chai dan Lee Hack Teik.

Dalam persaingan merebut jawatan ini, Ka Chuan, abang kepada Presiden MCA sekarang Datuk Seri Ong Ka Ting, kelihatan mempunyai kelebihan berbanding Dr. Chua, bekas Menteri Kesihatan, yang melepaskan jawatan Kabinet akhir tahun lepas apabila video yang memaparkannya dalam satu aksi kontroversi dengan teman wanitanya tersebar dengan meluas, Donald Lim, penyandang jawatan Naib Presiden sekarang, dan Lee, seorang bekas Ahli Dewan Undangan Negeri.

Jawatan Timbalan Presiden kosong apabila penyandangnya Tan Sri Chan Kong Choy membuat keputusan untuk tidak mempertahankannya.

Dua jawatan tertinggi itu dianggap penting, terutama berikutan kekalahan teruk yang dialami calon MCA pada pilihan raya umum 8 Mac lepas.

Pada pilihan raya itu, MCA hanya memenangi 46 kerusi (negeri dan Parlimen) berbanding 106 pada pilihan raya umum 2004. Bagi calon yang bertanding untuk dua jawatan tertinggi itu, usaha untuk memenanginya adalah lebih mudah, berbading tugas berat yang perlu dilaksanakan bagi menawan semula hati dan minda masyarakat Cina, yang ramai meninggalkan parti itu pada pilihan raya umum lepas.

Lapan calon menawarkan diri untuk mengisi empat kerusi naib presiden, dengan penyandang sekarang Datuk Seri Fong Chan Onn, kelihatan mendahului persaingan.

Calon lain ialah ketua Wanita Datuk Dr Ng Yen Yen, Datuk Kong Cho Ha, Ketua MCA Bahagian Lumut, yang menduduki tempat teratas dalam senarai 25 anggota CC yang dipilih pada pemilihan lepas; Datuk Liow Tiong Lai, bekas ketua Pemuda dan kini Menteri Kesihatan; Datuk Chor Chee Heung, Timbalan Menteri Dalam Negeri dan Ahli Perlimen Alor Star; Datuk Yap Pian Hon, bekas Naib Presiden MCA dan bekas Ahli Parlimen Serdang; Lim Teck Chong, Naib Pengerusi MCA Bahagian Kuala Langat; dan Tan Kok Heng dari Johor.

Ketika ditemui pemberita selepas tamat tempoh pencalonan, Tee Keat berkata beliau akan berkempen dengan sedaya upaya bagi mendapat sebanyak mungkin undi.

"Mengenai rancangan saya untuk MCA jika saya menang, saya telah menyebutnya dalam manifesto saya. Saya juga bersikap terbuka mengenai pendekatan bercorak pelbagai kaum.

"Tapi, perkara yang menjadi pegangan kami ialah berjuang untuk semua kaum, bukan untuk orang Cina saja," katanya.

Mengenai keanggotaan orang bukan Cina dalam MCA, beliau berkata perkara itu perlu mendapat restu anggota parti berkenaan terlebih dulu. Sementara itu, Jui Meng, berkata beliau menerima hakikat kedudukannya sebagai "underdog" dan berharap apabila mengundi nanti, anggota perwakilan akan mengambil kira khidmat yang telah beliau curahkan.

"Proses politik dan demokrasi ini perlu kita patuhi. Saya harap pertandingan ini berjalan dengan bersih dan saya yakin anggota perwakilan juga mahu ia diadakan begitu," katanya.

Bagi 25 kerusi CC, persaingan dijangka cukup sengit apabila disertai 63 calon.

Mereka ialah Loke Yuen Yow, Gan Tian Loo, Tang See Hong, Lam Chiek Tuan, Tan Teik Cheng, Loh Yoon Foo, Datuk Tee Siew Kiong, Lai Yit Fee, Yu Chok Tow, Goh Siow Huat, Chuah Boon Seng, Ho Cheng Wang, Tan Chin Meng, Tang Heap Seng, Yip Chee Keong, Kong Sing Chu, Gan Ping Siew, Hoh Khai Mun, Wong Siong Hwee, Dr Por Choo Chor.

Hou Kok Chung, Koe He Choon, Wee Jeck Seng, Heng Seai Kie, Lee Wei Kiat, Datuk Edward Khoo Keok Hai, Wong Koon Mun, Tan Cheng Liang, Datuk Chau Tet On, Yit Lee Kok, Wong Foon Meng, Wong Mook Leong, Teng Boon Soon, Ho Yoon Ping, Yeow Chai Thiam, Tan Chong Seng, Ong Chong Swen, Lee Chee Keong, Wong Nai Chee, Teh Kim Po.

Tan Ken Ten, Datuk Li Lian Ker, Datuk Tan Chai Ho, Koo Chin Nam, Chong Itt Chew, Liew Yuen Keong, Datuk Lim Choon Kin, Datuk Thong Fah Chong, Theng Book, Tan Seong Lim, Chai Kim Sen, Datuk Ei Kim Hock, Lee Chee Leong, Lee Kon Yin, Loh Seng Kok, Datuk Lee Sing Chooi, Tan Khai Beng, Chang Aik Meng, Ho You Weng, Yew Teong Look, Chin Yen Foo, Datuk Lee Chong Meng dan Ong Chen Huing. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain