suria

Lapan bahagian Umno Negeri Sembilan akan calonkan Najib tanding Presiden

SEREMBAN: Kesemua lapan bahagian Umno Negeri Sembilan sebulat suara menyatakan persetujuan untuk mencalonkan Timbalan Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Presiden parti pada pemilihan Mac depan.

Menteri Besar dan juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan berkata beliau yakin semua bahagian akan mencalonkan Najib walaupun wakil Umno bahagian Seremban tidak hadir mesyuarat hari ini.

"Saya berharap mesyuarat bahagianbahagian yang akan bermula Ahad ini dapat mencalonkan Timbalan Presiden," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Badan Perhubungan Umno negeri di sini semalam.

Beliau turut melahirkan rasa berat hati dengan keputusan Perdana Menteri dan juga Presiden Umno Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk mengundurkan diri daripada teraju kepimpinan negara dan parti.

Sementara itu, Ketua Umno Bahagian Seremban Datuk Ishak Ismail yang tidak hadir pada mesyuarat hari ini ketika dihubungi Bernama mengesahkan bahawa beliau menyokong penuh keputusan Mohamad mengenai pendirian Umno Negeri Sembilan untuk mencalonkan Najib.

Beliau mengaku agak uzur untuk hadir ke mesyuarat itu selepas balik daripada menunaikan umrah di Mekah pada Jumaat lepas.

Umno Bahagian Negeri Sembilan akan memulakan mesyuarat bahagiannya pada 12 Okt ini dimulai dengan Bahagian Jelebu, Jempol dan Rasah.

Di KUALA TERENGGANU, Umno Terengganu menyatakan sokongan secara terbuka kepada Najib untuk bertanding jawatan Presiden Umno. Menteri Besar dan Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri Datuk Ahmad Said berkata keputusan itu dibuat sebulat suara antara ketuaketua Umno Bahagian, yang sepakat memberikan sokongan terhadap Najib.

"Ini bukan pendapat peribadi. Kami, ketuaketua Umno Bahagian sepakat bahawa tiada calon lain kecuali Datuk Seri Najib untuk menjadi Presiden Umno," katanya semasa berucap pada Majlis Mesra Aidilfitri Timbalan Perdana Menteri bersama kepimpinan Umno negeri semalam.

Najib yang ditemani isteri, Datin Seri Rosmah Mansor tiba di sini semalam, sempena lawatan kerja sehari ke Terengganu. Turut hadir Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Naib Presiden Umno.

Ahmad berkata Umno negeri yakin dengan kemampuan Najib dalam menerajui parti dan kerajaan pada masa depan. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain