suria

Polis rampas 3 571 biji pil kuda

KUALA TERENGGANU: Polis merampas 3,571 biji pil WY atau lebih dikenali sebagai pil kuda bernilai RM107,130 dan menahan dua lelaki serta dua wanita dalam satu serbuan di sebuah chalet di Rusila, Marang, Ahad lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Terengganu Supt Roslan Abd Rahim berkata polis turut merampas wang tunai RM18,922 yang dipercayai hasil jualan dadah dalam serbuan kira-kira pukul 2.45 pagi itu.

Beliau berkata mereka yang ditahan berumur dalam lingkungan 40-an dan tiga daripada suspek termasuk dua wanita berkenaan, mempunyai rekod jenayah berkaitan dengan dadah.

"Dua wanita itu, masing-masing berasal dari Pasir Mas Kelantan dan Melaka, baru sahaja dibebaskan dari Pusat Tahanan Simpang Renggam, Johor awal tahun lalu," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Roslan berkata keempat-empat suspek kini ditahan reman bagi membantu siasatan dan mereka sedang disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana kesalahan mengedar dadah. BERNAMA

Artikel Lain