suria

Chong Wei bertemu Taufik Hidayat perlawanan akhir terbuka Macau

KUALA LUMPUR: Datuk Lee Chong Wei akan bertemu pemain Indonesia Taufik Hidayat dalam perlawanan akhir Terbuka Macau esok.

Yang turut layak ke akhir ialah pemain perseorangan wanita negara Julia Wong Pei Xian yang akan menentang pemain Hong Kong, Zhou Mi.

Chong Wei selaku pilihan pertama kejohanan menewaskan pemain Indonesia, Alamsyah Yunus 21-13, 21-14 dalam masa 37 minit di peringkat separuh akhir hari ini.

Taufik yang merupakan pilihan keempat mudah menewaskan pemain tidak ternama negara Kuan Beng Hong 21-11, 21-12.

Julia Wong, pilihan kelapan menewaskan pilihan keempat Yip Pui Yin dari Hong Kong, 17-21, 23-21, 21-17 dalam masa sejam dalam perlawanan separuh akhir.

Zhou Mi, pilihan ketiga hari ini menewaskan Zhu Jingjing dari China 20-22, 21-18, 21-16.

Pasangan beregu lelaki negara dan pilihan pertama Koo Kien Keat/Tan Boon Heong turut layak ke akhir selepas menumpaskan pilihan keempat Fernando Kurniawan/Lingga Lie dari Indonesia, 21-14, 25-23, dalam tempoh 34 minit.

Kien Keat/Boon Heong selaku juara bertahan akan bertemu pilihan kedua, Fang Chieh Min/Lee Sheng Mu dari Taiwan yang menewaskan satu lagi pasangan negara Chan Chong Ming/Chew Choon Eng 21-18, 14-21, 21-11. Dalam acara beregu wanita, pemain negara Ng Hui Lin/Woon Khe Wei tewas kepada pasangan China, Ma Jin/Wang Xiaoli, 21-12, 21-12.

Keputusan yang melibatkan pasangan Malaysia. Perseorangan lelaki Lee Chong Wei mn Alamsyah Yunus (INA) 21-13, 21-14; Taufik Hidayat (INA) mn Kuan Beng Hong 21-11, 21-12.

Beregu lelaki Koo Kien Keat/Tan Boon Heong mn Fernando Kurniawan/Lingga Lie (INA) 21-14, 25-23; Fang Chieh Min/Lee Sheng Mu (TPE) mn Chan Chong Ming/Chew Choon Eng (MAS) 21-18, 14-21, 21-11.

Perseorangan wanita Julia Wong Pei Xian mn Yip Pui Yin (HK) 17-21, 23-21, 21-17 Beregu wanita Ma Jin/Wang Xiaoli (CHN) mn Ng Hui Lin/Woon Khe Wei (MAS) 21-12,21-12. BERNAMA

Artikel Lain