suria

Dana besar diperlu untuk sedia tenaga bersih

KUALA LUMPUR: Dana dan pelaburan besar diperlukan bagi menghadapi cabaran menyediakan tenaga bersih di negara-negara membangun, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Timbalan Perdana Menteri berkata, bank-bank pembangunan dan agensi pembangunan lain harus memberi sokongan terhadap usaha ini.

"Kita menyambut baik penubuhan Dana Pelaburan Iklim termasuk Dana Teknologi Bersih dan Dana Iklim Strategik, yang kini dikendalikan oleh Bank Dunia," katanya ketika merasmikan Persidangan Menteri Kesihatan Asia Pasifik mengenai Perubahan Iklim dan Kesihatan di sini hari ini.

Seramai 120 peserta terdiri Menteri Kesihatan dan pegawai-pegawai kanan dari 18 negara menghadiri persidangan dua hari itu bagi membincangkan isu kesihatan dan perubahan iklim di rantau ini.

Najib mencadangkan agar mekanisme pembiayaan bukan berbentuk pembangunan disediakan untuk negaranegara membangun khususnya dalam membangunkan modal insan dan strategi serta program kesihatan tertentu.

Beliau berkata, kunci kepada kejayaan dalam menangangi isu perubahan iklim ialah inovasi termasuk dalam bidang teknologi dan strategi.

Najib berkata bahawa sebagai sebuah negara membangun, Malaysia perlu melaksanakan pelbagai rancangan pembangunan bagi meningkatkan taraf hidup penduduknya.

Namun, katanya, kerajaan sedar tentang pentingnya dasar pembangunan dan perubahan iklim diseragamkan di semua peringkat pentadbiran.

Penubuhan sebuah jawatankuasa peringkat kabinet mengenai perubahan iklim merupakan satu bukti mengenai komitmen dan hala tuju Malaysia dalam isu ini, kata Timbalan Perdana Menteri.

"Secara bersendirian, Malaysia tidak dapat menangani masalah perubahan iklim ini kerana kemampuan dan sumbernya yang terhad," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain