suria

Suhakam gesa kerajaan lakukan perubahan ISA

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) meminta kerajaan melakukan pembaharuan mengikut arus semasa terhadap Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) demi kepentingan hak asasi semua rakyat negara.

Naib Presiden Suhakam Tan Sri Simon Sipaun berkata kerajaan wajar mengkaji semula akta itu dan meneliti sama ada alasan penahanan yang dilakukan benar-benar memudaratkan keselamatan dan ketenteraman negara.

"Kita berharap kerajaan melakukan pembaharuan kepada undang-undang ISA yang diperkenalkan semasa pentadbiran (Perdana Menteri kedua) Tun Abdul Razak Hussain kerana Suhakam mendapati sesuatu undang-undang seperti itu hanya boleh diguna pakai untuk tempoh 10 tahun dan bukan 100 tahun," katanya kepada pemberita selepas satu perbincangan meja bulat mengenai undang-undang dan kemiskinan di sini hari ini.

Pesuruhjaya Suhakam Datuk N. Siva Subramaniam yang turut hadir berkata Suhakam memandang berat terhadap penahanan tanpa perbicaraan dan berulang kali menyarankan supaya tahanan ISA dibebaskan atau didakwa mengikut kesalahan mereka. "Jika ada bukti untuk menyokong penahanan mereka, tahanan mesti didakwa di mahkamah selari dengan prinsip hak asasi manusia," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain