suria

Pelbagai Sejarah Tercatat Dalam P/Raya Pertama

Tunku Abdul Rahman Putra
Tunku Abdul Rahman Putra
Tunku Abdul Rahman Putra

PADA tahun 1959, pilihan raya parlimen dan dewan undang negeri Malaya yang pertama diadakan - kurang lebih dua tahun selepas negara mencapai kemerdekaan penuh daripada British.

Ia adalah satu peristiwa yang bersejarah kerana inilah buat pertama kali sebuah kerajaan pusat dan negeri dibentuk dan dipilih secara demokratik dalam sejarah negara ini.

Ia juga merupakan pilihan raya yang pertama diadakan di bawah kendalian Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) yang dibentuk pada tahun 1958.

Pilihan raya yang pertama ini juga akan dikenang sebagai sesuatu yang unik dan tidak akan berulang lagi dalam sejarah pilihan raya selepas itu kerana, Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman Putra telah melepaskan jawatannya itu kepada Tun Abdul Razak Hussein pada 16 April hanya untuk memberikan tumpuan khusus kepada persediaan Perikatan.

Selama empat bulan Razak menjadi perdana menteri sehinggalah pilihan raya diadakan pada 19 Ogos tahun berkenaan.

Tunku kemudiannya kembali menerajui Kerajaan Perikatan dan Razak menyandang semula jawatannya sebagai timbalan perdana menteri selepas Perikatan menang 74 daripada 104 kerusi yang dipertandingkan.

Barisan Sosialis pimpinan Ahmad Boestaman muncul sebagai parti pembangkang terbesar di Dewan Rakyat dengan memenangi lapan kerusi diikuti oleh PPP (4), PAS (3), Bebas (3) dan masing-masing satu kerusi oleh Parti Negara dan Parti Malaya.

PPP pada masa itu diketuai oleh D.R. Seenivasagam manakala PAS dibawah pimpinan Dr Burhanuddin Helmy.

Di peringkat negeri, daripada 282 kerusi yang dipertandingkan, Perikatan memperolehi kemenangan di 207 kerusi diikuti oleh PAS (42), Barisan Sosialis (16), PPP (8), Parti Negara (4) dan lain-lain parti (5).

Artikel Lain