suria

Anugerah Ijazah Doktor Honoris Causa Universiti Romania Kepada NC UKM

BANGI: Salah sebuah daripada universiti terkemuka Romania - Universiti Alba Iulia (UAB) telah menganugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Honoris Causa kepada Naib Canselor UKM, Profesor Tan Sri Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabuddin minggu lalu.

Ijazah Doktor Kehormat itu disampaikan oleh Rektor UAB, Prof Valer Daniel Breazin pada satu majlis khas yang berlangsung di dewan utama rektorat kampus universiti itu di Alba Iulia Romania.

Ahli-ahli Dewan Senat, penolong rektor dan para ahli akademik lain UAB turut hadir di upacara itu.

Prof Breazin berkata, penganugerahan itu adalah satu pengiktirafan terhadap sumbangan Prof Sharifah Hapsah dalam dunia penyelidikan perubatan, pendidikan dan pengurusan pendidikan tinggi.

Beliau memuji Prof Sharifah Hapsah kerana dedikasinya dalam bidang kesihatan dan pendidikan dan minatnya mempromosikan nilai-nilai sains and kerohanian.

Prof Sharifah Hapsah, katanya, telah mengarang beberapa buku dalam bidang pendidikan perubatan dan pengurusan pendidikan tinggi.

UAB diasaskan pada tahun 1991 dengan tujuan melahirkan pakar-pakar yang berkelayakan untuk pasaran yang semakin mencabar di Romania dan juga antarabangsa.

Fakulti Sains dan Teknologi (FST) UKM telah pun menjalankan beberapa aktiviti dengan UAB Romania sejak tahun 2007.

Kedua-dua universiti itu telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai kerjasama selanjutnya dalam penyelidikan sains.

Prof Sharifah Hapsah dalam ucapan penerimaannya berkata UKM dan UAB boleh menerokai ilmu baru dan meningkatkan kerjasama untuk faedah kedua-dua buah negara.

Setiap universiti, katanya lagi, harus menyumbang kepada keamanan dan kemakmuran melalui pertumbuhan ekonomi dan pembangunan sosial di mana kerjasama antarabangsa diperlukan dalam dunia yang diselubungi oleh gelombang globalisasi.

Beliau berkata, perkara penting seperti semangat sukarelawan dan tanggung jawab sosial perlu diberi keutamaan walaupun tidak diambil kira dalam penyenaraian kedudukan universiti dunia.

Beliau sebelum itu telah menanda tangani Memorandam Persefahaman (MoU) dengan UAB untuk mengadakan pelbagai program bersama termasuklah persidangan, penyelidikan dan penyeliaan, penerbitan, pertukaran penyelidik/siswazah dan kakitangan akademik dan kursus ringkas musim panas.

MoU itu akan memudahkan UKM dan UAB mengkaji usahasama demikian termasuk kerjassama lainnya yang akan dirundingkan.

Kedua-dua universiti juga bersetuju menguatkuasakan perlindungan hak harta intelek mengikut undang-undang dan peraturan-peraturan negara masing-masing.

Prof Sharifah Hapsah kemudiannya telah mengadakan kunjungan hormat ke atas Menteri Pendidikan Romania, Minhea Costoiu, di Bucharest untuk membincangkan kerjasama yang lebih erat antara kedua-dua negara dalam bidang pendidikan.

Beliau juga telah berkunjung ke Universiti Sains Agronomi dan Perubatan Veterinar di Bucharest.

Artikel Lain