suria

USM Tandatangan MoU Dengan Universiti Islam Gaza

KUALA LUMPUR: Universiti Sains Malaysia (USM) akan menyalurkan bantuan kepada Universiti Islam Gaza (IUG), Palestin termasuk membiayai pengajian penuntut yang tidak berkemampuan dan pembangunan sistem pendidikan tinggi universiti itu.

Bagi membolehkan usaha itu dilaksanakan, memorandum persefahaman (MoU) antara USM dan IUG dimeterai di sini, Selasa.

Bercakap kepada pemberita selepas majlis MoU itu, Naib Canselor USM Datuk Omar Osman berkata keadaan Gaza kini yang sedang bergolak menyukarkan pihak universiti itu mendapatkan bantuan pendidikan.

Beliau berkata warga USM mengumpulkan kira-kira RM100,000 bagi Tabung Pendidikan Gaza sejak 20 Nov lepas untuk disalurkan kepada IUG untuk pembangunan pendidikan.

"Bantuan seterusnya akan dibuat secara berkala," katanya, sambil menambah bahawa 30 kakitangan USM telah melaksanakan potongan gaji bulanan sukarela untuk tempoh setahun sekurang-kurangnya bagi membiayai penuntut IUG yang tidak berkemampuan.

Omar berkata kos pembiayaian bagi seorang penuntut di Gaza dianggarkan RM4,500.

Beliau berkata dua penuntut USM akan menyertai misi Aman Palestin ke Gaza esok yang akan bertindak sebagai 'duta kecil' mendalami apa yang diperlukan IUG dalam membangunkan sistem pendidikan tinggi mereka.

USM akan turut melaksanakan program pertukaran kakitangan dengan IUG bagi berkongsi kepakaran dan ia mencakupi bidang penyelidikan terutamanya teknologi nano, teknologi solar dan astronomi.

Naib Canselor IUG, Dr Kamalain K Sha'ath berkata memorandum itu diharap dapat memberi banyak manfaat kepada kedua-dua pihak dan ia menjadi batu loncatan kepada pihaknya untuk menjalin lebih banyak kerjasama seumpamanya dengan negara lain.

Katanya, IUG merupakan universiti terbesar di Gaza berkapasiti 21,000 orang penuntut yang memerlukan banyak bantuan daripada luar. - BERNAMA

Artikel Lain