suria

IPTA Wajar Anjur Program Dekati Masyarakat Tempatan Untuk Pelajar Asing

JELI: Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) perlu menganjurkan program supaya pelajar asing dapat mengenali lebih dekat budaya masyarakat setempat di kawasan pedalaman, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Katanya melalui program seperti itu, pelajar asing berkenaan dapat berkongsi pengalaman dan pengetahuan mengenai keunikan budaya Malaysia apabila pulang ke negara asal mereka.

Mustapa, yang juga Ahli Parlimen Jeli, berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program keluarga angkat dan bakti siswa anjuran Universiti Utara Malaysia (UUM) di Kampung Air Chanal, dekat sini, hari ini.

Seramai 83 mahasiswa dari 10 buah negara antaranya dari China, Uzbekistan, Iraq, Somalia dan Yemen menyertai program empat hari itu dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

Exco Integrasi, Komuniti dan Hal Ehwal Pelajar Antarabangsa UUM, Norfarahain Shariff, berkata program pertukaran budaya ini bertujuan memberikan kefahaman tentang budaya dan adat resam orang Melayu.

Sementara itu, pelajar dari Iraq, Mohamad Shahib, 20, yang mengikuti kursus Ijazah Teknologi Maklumat berkata, program kali kedua diikutinya ini cukup menarik.

Katanya, pelbagai perkara dipelajari tentang cara hidup dan kebudayaan orang Melayu di sini.

"Kehidupan di sini berbeza dengan negara saya jadi ianya satu pengalaman menarik untuk saya," katanya.

Bagi Tatiana Rudi,18, dari Indonesia pula, program ini disifatkannya sebagi satu pendidikan dalam pengalamannya belajar di negara asing.

Katanya, banyak perkara yang akan dipelajari di sini biarpun persamaan Indonesia dan Malaysia tidak banyak bezanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

UTM Lantik Tiga Karyawan Tamu

Artikel Berikut

17 MAHASISWA UTM BERLEPAS KE UK

Artikel Lain