suria

Lelaki saman rakan wanita RM9.75 juta kerana enggan jadi GF, dakwa alami trauma akibat kena ‘reject’

Kawshigan memfailkan saman dengan mendakwa dirinya mengalami trauma akibat penolakan wanita berkenaan. Foto: AeroLion Technologies

SEORANG lelaki di Singapura memfailkan saman sebanyak £1.9 juta (RM9.75 juta) terhadap seorang wanita kerana menolak hasrat untuk menjadi kekasihnya.

K Kawshigan, pengarah di syarikat dron D1 Racing, memfailkan saman terhadap Nora Tan Shu Mei dengan mendakwa dirinya mengalami trauma akibat daripada penolakan wanita berkenaan.

Channel News Asia melaporkan bahawa Nora kemudian bertindak balas dengan turut memfailkan saman terhadap lelaki tersebut.

Dalam samannya, Nora mendakwa gangguan Kawshigan begitu hebat sehingga dia terpaksa memasang siren dan loceng penggera pintar pada pintu, bagi memastikan keselamatannya.

Sementara itu, Kawshigan berkata penolakan Nora ibarat penghinaan terhadapnya sehingga menjejaskan kesihatan mental dan merosakkan reputasi karier di mana dia kehilangan sekurang-kurangnya lima perkongsian (partnership) perniagaan.

Bagaimanapun, mahkamah mengenepikan saman Kawshigan dengan timbalan pendaftar berkata, mahkamah tidak akan memainkan peranan dalam 'percubaan yang dikira untuk memaksa penglibatan' daripada Nora.

Namun, dalam saman terbarunya, Kawshigan menyenaraikan beberapa kenyataan yang didakwa berunsur fitnah yang dikatakannya dibuat apabila pihak ketiga hadir untuk mendengar.

Bertindak balas dengan saman terbaru itu, Nora kemudian mendakwa Kawshigan pernah mengetuk pintunya dan meminta nombor telefonnya daripada jiran.

Wanita itu juga mendakwa, Kawshigan pernah mengugut untuk ke tempat kerjanya jika dia enggan bercakap malah sudah pun melakukannya, namun bernasib baik kerana ketika itu dia tidak berada di pejabat. - Metro.co.uk

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain