suria

Pengantin buat siaran langsung di majlis perkahwinan sendiri gara-gara tetamu bimbang dijangkiti koronavirus

Yew dan isterinya Kang Ting tampil dengan idea yang bernas dengan mengadakan siaran langsung sewaktu majlis perkahwinan mereka. Foto: Joseph Yew/BBC

APABILA mengetahui bahawa pasangan pengantin baru sahaja kembali dari China, kebanyakan tetamu melahirkan rasa bimbang untuk menghadiri majlis perkahwinan mereka, apatah lagi ketika ini wabak koronavirus sedang menular.

Bagi meredakan kebimbangan tetamu mereka, pasangan pengantin dari Singapura, Joseph Yew dan isterinya Kang Ting tampil dengan idea yang bernas.

Yew dan isterinya yang berasal dari Hunan, China pada mulanya terbang ke wilayah itu pada 24 Januari bagi menghabiskan Tahun Baru Lunar bersama keluarganya.

Wilayah Hunan bersempadan dengan Hubei - wilayah di mana wabak koronavirus berasal.

Mereka kembali ke Singapura pada 30 Januari, di mana perkahwinan mereka dijadualkan berlangsung pada 2 Februari di hotel M yang terletak di tengah-tengah kota Singa itu.

Tetapi apabila para tetamu mendapat tahu pasangan itu baru saja pulang dari China, mereka mula bimbang.

"Ada di antara mereka yang mengatakan mereka tidak datang.

"Kami mahu menangguhkan majlis tetapi hotel itu tidak bersedia, mereka mengatakan segala-galanya telah diatur dan ia tidak boleh dirundingkan, jadi kami merasa seperti kami tidak mempunyai pilihan tetapi untuk meneruskan majlis."

Pasangan itu memutuskan bahawa mereka tidak akan menghadiri majlis perkahwinan mereka demi untuk meredakan kebimbangan para tetamu.

"Kami memberitahu para tetamu bahawa kami akan mengadakan persidangan video. Sesetengah daripada mereka terkejut," katanya.

Pada petang 2 Februari, pasangan tersebut telah membuat panggilan video yang disiarkan di dewan hotel, di mana majlis perkahwinan berlangsung.

"Kami mengucapkan terima kasih kepada tetamu yang datang dan memberitahu mereka untuk menikmati makan malam yang disediakan," kata Yew. - BBC

Artikel Lain