suria

Kejam! Ibu bunuh tiga bayi, sembunyi mayat masih bertali pusat hingga mereput

Murray didakwa menyembunyikan mayat tiga anaknya di kediaman mereka.

SEORANG wanita didakwa membunuh tiga bayinya dengan mayat salah seorang daripadanya ditemui dalam keadaan menyayat hati.

Perbicaraan hari pertama kes pembunuhan tiga bayi oleh Erika Murray pada Selasa mendedahkan maklumat mengenai keadaan kediaman mereka di Blackstone, Massachusetts.

Murray, 35, ditahan selepas keadaan rumahnya dipenuhi dengan najis, sampah dan serangga dibongkarkan jirannya, Betsy Brown pada Ogos 2014.

Penyiasat akhirnya menemui mayat salah seorang bayinya yang masih bertali pusat di dalam beg galas yang disembunyikan di dalam sebuah almari pakaian.

Mayat bayi kedua pula ditemui di dalam sebuah lagi almari pakaian berdekatan, lapor NBC.

Sementara itu, mayat bayi ketiga pula yang hanya tinggal tulang ditemui dalam keadaan berbaju dan memakai lampin pakai buang.

Keadaan rumah Murray dipenuhi sampah dan najis serta berbau busuk.

Murray yang mempunyai empat anak tinggal di rumah tersebut bersama anak-anaknya yang berusia dari lima bulan hingga 13 tahun didakwa membunuh dua bayinya dan mengabaikan seorang lagi bayinya sehingga mati.

Pendakwa turut mendedahkan dua daripada anaknya itu tidak pernah dibawa keluar rumah manakala seorang lagi anaknya berusia tiga tahun tidak boleh berjalan.

Brown antara individu pertama yang memberi keterangan pada perbicaraan itu dan menangis ketika menerangkan keadaan rumah suspek.

Dia memasuki rumah suspek selepas wanita itu meminta bantuannya untuk menenangkan salah seorang bayinya yang sedang menangis.

"Lampin pakai buang kotor, botol susu, ulat ada di mana-mana. Keadaan gelap dan panas. Ia menakutkan.

"Anda tidak boleh nampak lantai. Anda seolah-olah berjalan di atas sampah. Keadaan rumah amat teruk dan berbau busuk," katanya. - Metro.co.uk

mayat bayi, bertali pusat, bunuh

Artikel Lain