suria

DJ dituduh bunuh kucing selepas beberapa jam pelihara, organ dalaman lesap

Wararat Krasae (kiri) ketika di balai polis.

SEORANG DJ di Bangkok berdepan kes luar biasa yang sedang disiasat polis, yang mana kumpulan hak asasi haiwan menuduhnya membunuh kucing yang dipelihara, mungkin hanya dalam tempoh beberapa jam.

Tidak cukup dengan membunuhnya, dia juga didakwa mengembalikan bangkai kucing itu dalam keadaan organ dalamannya hilang.

Kumpulan pemerhati Thailand pada Sabtu memfailkan laporan polis terhadap Wararat Krasae, 30, selepas seekor anak kucing yang diambil sebagai peliharaan daripada seorang penderma di Facebook mati dan penjelasannya didapati mencurigakan.

Pada Jumaat, pemilik asal kucing itu, Issaraporn Samutgalin, 29, memuat naik posting di Facebook, menuduh Krasae menunjukkan tingkah laku mencurigakan dan posting itu tular.

Samutgalin menulis bahawa dia menyerahkan anak kucing itu kepada DJ tersebut di sebuah klinik haiwan pada Rabu, tetapi ketika dia bertanya tentang kebajikannya pada sebelah malam, Krasae tidak menjawab panggilan telefon atau mesejnya di LINE dan Facebook.

Apabila Samutgalin menghubungi Krasae pada keesokan harinya, DJ itu kemudian mendakwa dia tidak pernah memelihara kucing itu.

Selepas sedar bahawa klinik itu mempunyai kamera keselamatan, Krasae akhirnya mengaku tentang perkara itu tetapi mendakwa dia telah menyerahkan kucing itu kepada seorang kawan kerana mengalami alahan.

"Ini bermakna dia mempunyai niat tidak baik terhadap anak kucing itu," tulis Samutgalin.

Krasae dilaporkan menjadi DJ sambilan menggunakan nama 'DJ Sun'.

Selepas dakwaan penyalahgunaan haiwan itu menerima perhatian media, beberapa gambar Krasae berkempen di acara pro-demokrasi tersebar di internet.

Kedua-dua wanita itu bersetuju untuk menyelesaikan masalah mereka di balai polis Phetkasem pada Sabtu.

Apa yang mengejutkan Samutgalin apabila Wararat datang ke balai polis dengan bangkai anak kucing itu.

Semasa soal siasat, DJ itu tidak dapat memberikan alasan kukuh kepada polis tentang bagaimana atau mengapa kucing itu mati, menyatakan haiwan itu hilang dan dia kemudian menjumpai bangkainya, menurut Daily News.

Tiada sebarang perkara yang mencurigakan ketika kondominiumnya disiasat pada hari itu.

Sementara itu, mayat anak kucing itu kini berada di tangan Watchdog Thailand, organisasi yang membantu Samutgalin dalam kes itu. Dan cerita itu menjadi bertambah pelik.

Paparan skrin posting di FB Watchdog Thailand.

Watchdog Thailand yang menjalankan autopsi sendiri ke atas bangkai kucing itu pada Sabtu mendedahkan di Facebook, mendakwa semua organ dalamannya hilang dan menunjukkan tanda-tanda dipukul dengan teruk di bahagian kepala dan dada.

Terdapat juga banyak kesan luka di tubuhnya.

Dalam satu posting bersama penemuan autopsi mereka, kumpulan tersebut memasukkan satu baris ayat yang menyatakan bahawa disyaki pembunuhan kucing itu telah dirakam dan diedarkan di 'web gelap', yang banyak dipetik oleh saluran media Thailand.

Bagaimanapun, Coconuts Bangkok menyatakan Watchdog Thailand tidak mempunyai bukti yang menyokong kesimpulan itu dan ia pada asasnya hanyalah berdasarkan teori netizen.

Timbalan ketua Polis Phetkasem, Pol. Lt. Col. Soontorn Malavej berkata tidak ada bukti mencukupi untuk menuduh Krasae di bawah undang-undang Jenayah Kekejaman Haiwan, kerana tidak jelas bagaimana atau di mana anak kucing itu mati.

kucing, organ, dera

Artikel Lain