suria

Wanita berang ibu mertua juga pakai 'gaun pengantin' pada majlis kahwin

Gambar hiasan. Foto iStockphoto/mirroruk

HARI perkahwinan adalah majlis bersejarah yang berlangsung sekali seumur hidup, dan pasangan pengantin seharusnya menjadi perhatian sebagai raja sehari.

Bagaimanapun nasib malang menimpa seorang bakal pengantin perempuan kerana seorang tetamu mengambil ringan mengenai aspek pemakaian.

Keadaan menjadi lebih buruk apabila tetamu tersebut adalah ibu kepada bakal pengantin lelaki.

Menerusi perkongsian di laman sosial Reddit, bakal pengantin itu bertanyakan sama ada keadaan yang menimpanya itu adalah munasabah.

"Ibu mertua saya baru saja membeli pakaian untuk dipakai pada majlis perkahwinan saya. Sebelum ini dia bertanyakan apakah gaun yang dirasakan sesuai untuk dipakainya.

"Saya memberitahu dia secara khusus untuk mencari sesuatu yang berwarna biru laut, hijau gelab atau kelab, dan sesuatu yang konservatif," katanya.

Namun katanya, gaun yang dibeli ibu mertua ternyata di luar jangkaan.

"Ia berwarna emas dengan perincian dan hiasan emas. Seluruh gaunnya bersinar. Saya terkejut bila dia tunjukkan gaun itu, dan saya tidak berkenan dengan pilihan gaun berkenaan.

"Jika dibandingkan, gaun pengantin saya terlalu ringkas, dengan hiasan renda dan kemasan satin yang sedikit," ujarnya.

Tidak cukup sekadar itu, ibu mertuanya turut merancang untuk memakai satu lagi busana pada hari istimewa anak lelakinya, dengan membeli gaun kedua warna hijau dan mempunyai perincian manik.

"Sungguh tak percaya wanita ini. Jujurnya, saya tidak boleh terima kerana dia seorang wanita yang begitu ringkas yang tidak beria-ia untuk memakai gaun pada hari-hari biasa.

"Saya beritahu dia dengan cara paling diplomatik bahawa gaunnya tidak sesuai pada hari perkahwinan saya. Dia rampas gaun itu dari tangan saya, menyimpannya dalam almari dan hanya mendiamkan diri dengan saya.

"Saya bukan mahu biadab kerana dia mungkin melalui krisis pertengahan usia dan mempunyai tekanan darah tinggi," katanya sambil meminta nasihat dan padangan dalam kalangan netizen. - Mirror Online UK

Artikel Lain