suria

Lelaki alami kecederaan parah di kepala selepas dilenyek bola seberat 250kg

SEORANG lelaki berusia 29 tahun mengalami cedera parah pada bahagian kepala selepas dilanggar oleh bola gergasi seberat 250 kilogram (kg).

Bola itu digunakan untuk tahun kedua oleh penganjur pesta Sepanyol bagi menggantikan kerbau yang disifatkan lebih berbahaya.

Daerah Mataelpino menganggapnya bola yang dipanggil 'boloencierro' itu selamat dan lebih mesra haiwan berbanding kerbau sebenar untuk digunakan pada festival tersebut.

Namun, usaha itu memakan diri dalam keadaan yang penuh tragedi apabila ia laju menuruni kawasan cerun dan melenyek seorang lelaki yang teperangkap antara pagar keselamatan.

Dalam satu rakaman insiden itu, bola tersebut boleh dilihat melantun melanggar orang awam dan mangsa yang mengalami kecederaan kepala dikejarkan ke hospital dengan menggunakan helikopter, lapor media tempatan.

Seorang lagi lelaki turut dilaporkan cedera pada pesta tersebut.

Walaupun bola gergasi itu diperbuat daripada polisterin, ia sangat besar dan berat mencecah 250kg yang menyamai berat seekor kerbau kecil.

Orang awam dijemput untuk menguji kebolehan dan ketangkasan mereka berlari dengan mengelak bola itu, sama seperti acara lain yang menggunakan kerbau sebenar.

Mataelpino mula memperkenalkan acara itu pada tahun lalu dan usaha mereka dipuji kerana melindungi haiwan dan manusia.

Bagaimanapun, dua orang cedera pada 2017 dan aspek keselamatan diberi penekanan lebih teliti untuk penganjuran tahun ini.

Video daripada acara yang berlangsung Ahad itu menunjukkan ramai pengunjung berlari menuruni kawasan berbukit di depan bola gergasi berkenaan sebelum kejadian tidak diingini berlaku.

Pasukan perubatan bergegas ke lokasi kejadian untuk merawat mangsa sebelum dia dibawa ke Hospital La Paz. - Daily Mail

bola gergasi

Artikel Lain