suria

China tawar khidmat sewa 'penguji cinta', jangan sampai tergoda!

Gambar hiasan

PENGUSAHA dalam talian telah menemui cara bijak untuk membantu orang ramai menghilangkan rasa paranoid terhadap pasangan masing-masing.

Caranya ialah menyediakan khidmat sewa 'penguji cinta' yang akan cuba sedaya upaya menggoda pasangan mereka untuk memastikan tahap kesetiaannya.

China terkenal dengan perkhidmatan dalam talian yang luar biasa, termasuklah menyewa teman wanita atau teman lelaki palsu untuk menipu keluarga bahawa mereka sedang menjalinkan hubungan cinta, menyewa pengajar untuk mengajar isteri-isteri bagaimana untuk berdepan dengan perempuan simpanan suami mereka, malah menyewa pengapit profesional semasa perkahwinan tradisional Cina.

Para usahawan di China kini terus mencari cara-cara baharu untuk mendapatkan keuntungan daripada hubungan manusia, dan antara yang popular kini adalah perkhidmatan menyewa 'penguji cinta' untuk memeriksa kesetiaan pasangan masing-masing.

Menurut akhbar Cina Global Times, carian mudah untuk 'ujian kesetiaan teman lelaki' pada platform e-dagang terbesar China, TaoBao menunjukkan puluhan keputusan, dengan syarikat-syarikat mengenakan caj dari 20 yuan (RM12) hingga 1,314 yuan (RM780) untuk perkhidmatan ini.

Sebaik sahaja pesanan untuk 'penguji cinta' dibuat dengan salah sebuah syarikat, pelanggan mesti memberikan semua maklumat peribadi tentang pasangan mereka seperti nama, pekerjaan, nombor telefon bimbit, akaun media sosial, hobi dan minat.

Kemudian, penguji akan mula mendekati sasaran di rangkaian sosial popular seperti WeChat atau QQ dan menggunakan semua jenis helah untuk memeriksa sama ada mereka benar-benar setia kepada pasangan mereka.

Akhbar Cina itu baru-baru ini menemubual Chen Mengyuan, seorang pelajar kolej berusia 21 tahun yang bekerja sebagai 'penguji cinta', untuk mengetahui bagaimana perkhidmatan tersebut berfungsi.

Menariknya, Mengyuan sendiri menggunakan perkhidmatan yang sama untuk menguji kesetiaan teman lelakinya, sebelum menjadi 'penguji cinta'.

"Menggunakan ayat menarik dan selfie (palsu) untuk menggoda lelaki, khidmat penguji ini bertujuan untuk membantu pelanggan mengetahui sama ada pasangan mereka jujur atau tidak," lapor Global Times.

Kadang-kadang, hasilnya positif untuk pelanggan, dengan beberapa sasaran langsung tidak melayan penguji cinta, atau menepis godaan terhadap mereka, tetapi kadang-kadang mereka termasuk perangkap dan akhirnya ditinggalkan pelanggan kerana mengkhianati kepercayaan mereka.

"Beberapa pasangan berpisah apabila ujian selesai kerana Mengyuan berjaya menggoda lelaki yang tidak setia yang bersetuju untuk membuat temujanji atau menafikan bahawa mereka sudah mempunyai teman wanita.

"Mengyuan menghantar semua rekod sembang kepada pelanggan, menunjukkan sama ada lelaki itu setia atau tidak," memetik laporan di Global Times.

Mungkin tidak menghairankan apabila golongan wanita lebih cenderung menggunakan perkhidmatan ujian kesetiaan dalam talian ini berbanding lelaki, tetapi menguji wanita harganya lebih mahal kerana 'memerangkap wanita biasanya lebih sukar berbanding lelaki'.

Artikel Global Times menarik pelbagai reaksi daripada pembaca Cina, tetapi Mengyuan sendiri memberitahu wartawan bahawa dia percaya dia melakukan perkara yang baik dengan mendedahkan pasangan yang tidak setia.

setia, goda, cinta

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Kembar kahwin kembar

Artikel Lain