suria

Bos mafia mati ditikam 3 anak

Maria Khachaturyan, 17, didakwa membunuh bapanya.

SEORANG bos mafia maut ditikam tiga anak perempuannya selepas tidak tahan dijadikan hamba seks bapa mereka.

Kristina, 19, Angelina, 18, dan Maria, 17, didakwa membunuh bapa mereka, Mikhail Khachaturyan, 57 di Moscow.

Insiden ketiga-tiga mereka diserang secara seksual terbongkar susulan penemuan mayat Khachaturyan dengan puluhan kesan tikaman di pangsapuri diduduki keluarga terbabit.

Polis di Moscow memberitahu pemberita bahawa ketiga-tiga remaja itu mengakui membunuh bapa mereka bersama-sama.

Mereka mendakwa telah menjadi mangsa seksual lelaki tersebut yang dikatakan ketagih heroin selama bertahun-tahun.

Khachaturyan maut ditikam tiga anaknya.

Jika didapati bersalah, ketiga-tiga mereka boleh dipenjara sehingga 15 tahun.

"Kami benci dia dan kami hanya mahu satu perkara berlaku, sama ada di hilang atau kami tidak pernah mengenalinya.

"Kami hanya mahu dia pergi jauh dan tidak kembali."

Menurut tiga beradik itu, bapa mereka mengancam untuk mencederakan mereka dengan pisau dekat sebuah pangsapuri di Moscow.

Salah seorang anaknya merampas pisau itu lalu menikam lelaki tersebut sebelum dia ditikam bertalu-talu oleh dua yang lain.

Khachaturyan cuba melarikan diri tetapi diserang semula dan dia meninggal dunia berdekatan lif.

Kristina dilaporkan menikam bapanya bersama dua adik beradiknya yang lain.

Rakan dan jiran Khachaturyan mendakwa lelaki itu amat zalim sehingga menyebabkan isterinya lari kerana tidak tahan didera.

Seorang lagi anak lelaki Khachaturyan yang sedang melanjutkan pengajian di Universiti Moscow telah dibuang dari hidup lelaki terbabit.

"Dia selalu memukul anak-anaknya. Malah dia juga pernah membawa mereka ke dalam hutan dan mengugut untuk membunuh mereka.

"Isterinya lari dari rumah dan dia menyekat semua komunikasi wanita itu dengan anak mereka.

"Lelaki itu dikaitkan dengan dunia jenayah, dia seorang bos mafia.

"Dia tidak pernah bekerja dan menerima beberapa bayaran melalui akaun bank," kata salah seorang rakan keluarga tersebut.

mafia, maut, tikam

Artikel Lain