suria

Doktor Muda Britain Mogok

LONDON: Tindakan kerajaan Britain cuba merangka pelan kerja baharu pegawai perubatan di hospital seluruh negara itu telah mencetuskan kemarahan hingga ribuan doktor muda melancarkan mogok.

Menerusi pengubahsuaian itu, kerajaan dikatakan mahu mengelaskan semula waktu kerja mingguan normal dengan memasukkan Sabtu serta waktu lewat malam.

Cadangan itu didakwa akan mengurangkan gaji sehingga 30 peratus kerana kehilangan bayaran kerja lebih masa.

"Kontrak baharu ini tidak adil dan tidak selamat. Dari awal lagi kami sebagai profesional dibuli, diugut dan diancam oleh Jabatan Kesihatan," kata Dr Florence Dalton, 29, yang berkhidmat di Hospital St Pancras di tengah London.

Ia adalah mogok secara besar-besaran yang pertama seumpamanya dalam masa 40 tahun.

Laporan AFP menyebut, tindakan doktor muda itu menyebabkan ribuan operasi rutin termasuk ujian dan temu janji dibatalkan.

Bagaimanapun, kumpulan berkenaan masih memberi perkhidmatan di bahagian kecemasan sepanjang mogok yang berlarutan selama 24 jam itu.

Keseluruhannya terdapat lebih daripada 55,000 doktor muda di Britain iaitu satu pertiga daripada tenaga kerja perubatan di negara itu. 

Isnin lalu, Perdana Menteri David Cameroon menggesa kepada doktor muda terbabit supaya membatalkan mogok berkenaan kerana ia didakwa akan mencetuskan masalah besar kepada Servis Kesihatan Nasional (NHS).

mogok, Britain, St Pancras, NHS

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain