suria

Jaket Keselamatan Pelarian Jadi Beg Tangan

TIMBUNAN jaket keselamatan pelarian yang dikumpul di pesisir pantai Lesbos bakal diubahsuai menjadi beg tangan.

Ia hasil usaha sekumpulan sukarelawan di pusat perlindungan pelarian di kepulauan Greek untuk mengumpul dana bagi tujuan kebajikan.

Sebuah bengkel dibina menempatkan tukang jahit warga Afghanistan, Yasin Samadi yang menggunakan mesin jahit untuk menghasilkan pelbagai jenis beg.

Kraftangan yang dihasilkan itu dijangka dijual dalam bulan ini pada harga antara 10 dan 30 euros (AS$11-$32.5).

"Jika ada kerja, saya akan ada di sini. Jika tidak kami perlu meninggalkan tempat ini," kata lelaki berusia 27 tahun dari Kabul yang tinggal bersama keluarganya di pusat perlindungan yang dikenali sebagai Kem Pikpa sejak 18 bulan lalu.

Lesbos menjadi pusat penempatan sejak krisis pelarian berlarutan tahun lalu.

Lebih 500,000 pelarian dan migran tiba di kepulauan itu sepanjang 2015, jumlah itu separuh daripada bilangan pelancong ke Eropah.

Jumlah itu meningkat sehingga 7,000 sehari pada Oktober lalu dengan majoritinya memakai jaket keselamatan jenama tiruan yang dibeli di Turki.

Semua jaket keselamatan yang dikumpul ini akan diubahsuai mengikut keadaan tekstilnya untuk dijadikan beg dan seterusnya dijual untuk mengumpul dana.

Sukarelawan dan guru bahasa Inggeris, Lena Altinoglou berkata, projek beg itu menyasarkan untuk membantu kos harian pelarian.

"Mereka tidak mahu menjadi pengemis, jadi adalah penting untuk mereka bekerja, mereka sesuatu untuk menjalani kehidupan bagi membantu keluarga pelarian di sini," katanya.






Artikel Sebelum

Trump Halau Wanita Berhijab

Artikel Lain