suria

Naruto Kalah Kes Hak Cipta Gambar Selfie

Naruto gagal peroleh hak cipta gambar selfie yang dirakamkannya pada 2011.

NEW YORK: Mahkamah Amerika Syarikat memutuskan gambar selfie seekor monyet, Naruto yang dirakam di hutan simpan kepulauan Sulawesi bukan hak cipta haiwan itu.

Penghakiman dibuat selepas mempertimbangkan saman yang dikemukakan kumpulan hak asasi haiwan bagi pihak monyet makaka berjambul itu.

Alasan utama monyet itu gagal memperoleh hak cipta ke atas gambar itu adalah kerana ia bukan manusia.

Kumpulan yang dikenali sebagai People for the Ethical Treatment of Animals (Peta) membawa kes berkenaan ke mahkamah pada September lalu bagi pihak monyet berusia tujuh tahun.

Gambar selfie itu disiarkan jurugambar warga British, David Slater menerusi buku hidupan liar yang dihasilkannya.

Naruto merakamkan sendiri gambar menggunakan kamera yang ditinggalkan Slater ketika berada di kawasan hutan simpan Indonesia pada 2011.

Peta menggesa supaya monyet itu mendapat hak ke atas gambar itu dan menerima pampasan yang boleh digunakan untuk memelihara habitat haiwan itu.

Peguam Peta, Jeff Kerr memberitahu Reuters, walaupun kecewa dengan keputusan itu, tetapi ia diraikan kerana kes berkenaan adalah suatu sejarah dalam perundangan.

"Buat pertama kalinya kami mempertahankan hak haiwan," katanya.

Tahun lalu, gambar selfie Naruto tersebar dan mendapat kritikan pelbagai pihak hingga mendorong kepada saman yang dikemukakan terhadap Slater.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain