suria

Penumpang Pesawat Tonton Dilwale Cetak Rompak, Diperhati Pelakon Filem Itu

SEORANG penumpang menonton filem Bollywood terbaharu, Dilwale versi cetak rompak tidak menyedari tindakannya itu diperhatikan oleh salah seorang pelakon filem berkenaan yang secara kebetulan duduk berhampiran dengannya di dalam pesawat sama.

Pelakon itu, Kriti Sanon merupakan bintang Bollywood yang turut sama membintangi filem Dilwale dengan Shah Rukh Khan, Kajol dan Varun Dhawan.

Portal Mirror melaporkan bahawa bintang berusia 25 tahun itu menyedari salah seorang penumpang di dalam pesawat yang dinaikinya menggunakan projektor peribadi untuk menonton filem berkenaan.

Kriti Sanon membintangi filem Dilwale bersama-sama dengan Shah Rukh Khan, Kajol dan Varul Dhawan.

Tindakan penumpang yang menjengkelkan itu membuatkan Kriti membuat beberapa kenyataan di Twitter bagi meluahkan rasa tidak puas hati.

"Seseorang menonton Dilwale versi cetak rompak di hadapan saya, menggunakan telefonnya di dalam pesawat. Menjengkelkan!" katanya di twitter dengan menggunakan hashtag "katakan tidak kepada cetak rompak".

Kriti yang berasal dari New Delhi kemudiannya menulis lagi di Twitter: "Sedih melihat kerja keras oleh ramai orang ditonton dalam kualiti yang menyedihkan! Tontonlah filem-filem di pawagam."

Menurut kenyataannya di Twitter, beliau telah menegur lelaki berkenaan mengenai perbuatannya itu tetapi tidak dipedulikan.

"Beritahu dia dengan cara baik bahawa dia akan lebih terhibur menonton filem berkenaan di pawagam tetapi dia terlalu sibuk menunjuk projektornya!," ujar Kriti.


Dilwale

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain