suria

Letusan Gunung Rinjani, Barujari Terus Dipantau Rapi

PENUTUPAN Lapangan Terbang Antarabangsa Ngurah Rai di Bali dilanjutkan sehingga 8.45 pagi Khamis susulan letusan gunung berapi Rinjani yang masih aktif di Pulau Lombok yang terletak berhampiran destinasi percutian itu.

Pengurus Operasinya, Ardita memaklumkan, pihak berkuasa tempatan masih memantau situasi di kawasan pergunungan itu dan akan mendapatkan maklumat terkini daripada Agensi Meteorologi, Cuaca dan Geofizik (BMKG).

Pada malam Selasa, lapangan terbang berkenaan ditutup pada 7.30 malam yang menyebabkan 14 penerbangan domestik terpaksa dijadualkan semula, selain 11 penerbangan antarabangsa ke Australia, Singapura dan Hong Kong.

Kompas.com melaporkan pada Rabu pagi, sekurang-kurangnya 6,000 penumpang terkandas di lapangan terbang itu.

"Penumpang domestik yang terkandas mencecah 2,055, manakala bakinya dalam perjalanan ke destinasi antarabangsa," kata Ardita.

Berdasarkan laporan awal, Gunung Barujari yang terletak di kawasan kawah Gunung Rinjani meletus beberapa kali pada pagi Selasa sehingga menyebabkan berlakunya gempa bumi.

Pada kira-kira pukul 2.45 pagi Rabu pula, letusan abu mula tersebar sehingga mencecah ketinggian 3,800 meter dari paras laut atau 1,500 meter dari puncak Gunung Barujari.

Pemerhatian salelit Himawari mengesan letusan itu juga merebak hingga ke barat dan barat daya iaitu ke Banyuwangi di Timur Jawa, sekali gus membawa kepada penutupan lapangan terbang itu.

Pada 25 Oktober lalu, amaran tahap dua dikeluarkan untuk Gunung Rinjani tetapi tiada perpindahan dilakukan bagi penduduk di kawasan sekitarnya.

Rinjani, Barujari, Lombok, Ngurah Rai

Artikel Lain