suria

Nahas Pesawat Rusia: Salah Satu Kotak Hitam Rosak

KAHERAH: Kumpulan penyiasat telah mengekstrak dan mengesahkan kandungan perakam data penerbangan, salah satu daripada dua kotak hitam yang ditemui dari pesawat Rusia yang terhempas di Mesir, kata Kementerian Penerbanagan Awam Mesir pada Rabu.

Kementerian itu berkata, kotak hitam kedua yang mengandungi perakam suara kokpit (CVR) rosak sebahagiannya dan banyak kerja diperlukan untuk mengekstrakkan data daripada peranti berkenaan.

"Oleh itu, tiada sebarang komen mengenai CVR boleh dibuat. Pemeriksaan terhadap bahagian-bahagian di lokasi (nahas) sedang diteruskan," kata kementerian itu dalam satu kenyataan.

Terdahulu, kumpulan sekutu dengan militan Negara Islam (IS) di Mesir menolak mesej audio yang meragukan bahawa ia telah menyebabkan pesawat penumpang Rusia itu terhempas di Semenanjung Sinai, mengorbankan kesemua orang.

Pesawat Airbus A321M terhempas pada Sabtu lalu sejurus berlepas dari Sharm al-Sheikh dalam penerbangannya ke St Petersburg mengorbankan kesemua 224 orang.

Sebuah kumpulan di Mesir yang bersekutu dengan IS dalam satu kenyataan pada hari yang sama nahas berlaku berkata, ia disebabkan oleh serangan udara Rusia yang mengorbankan ratusan orang Islam di bumi Syria.

Pihak Mesir dan Rusia menafikan dakwaan itu.

Pegawai Rusia bagaimanapun berkata, pesawat tersebut mungkin berkecai di udara ketika kejadian yang mungkin disebabkan oleh letupan dalam pesawat.

Ditanya mengenai kenyataan dan laporan media tempatan bahawa perakam suara kotak hitam merakamkan bunyi luar biasa sebelum nahas, Menteri Penerbangan Awam, Hossam Kemal berkata, perkara tersebut masih belum disahkan.

"Ini semua adalah spekulasi. Belum ada yang muktamad sehingga suruhanjaya siasatan menyelesaikan siasatan mereka," katanya. - Reuters

kotak hitam, pesawat Rusia

Artikel Sebelum

Artikel Lain