suria

Rasuah: Pegawai Kanan Tentera, Polis Thailand Hilang Selepas Disiasat

Nakvanich (kiri) dan Tharvornsiri menghilangkan diri susulan disiasat kes rasuah.

DUA pegawai kanan pasukan keselamatan Thailand dilaporkan hilang selepas pihak berkuasa memulakan siasatan ke atas mereka berhubung kes rasuah melibatkan kerabat diraja negara itu.

Kolonel Theerachai Nakvanich yang juga komander pasukan tentera negara itu, dikatakan melarikan diri ke bandar Myawaddy, Myanmar, manakala Jeneral Prawut Thavornsiri yang menjadi jurucakap pasukan polis pula dikatakan menghilangkan diri ketika bercuti di Eropah.

Sumber polis memberitahu, siasatan mendapati Nakvanich mengeluarkan 20 juta bath daripada akaun banknya dan memindahkan wang itu ke akaun seorang wanita di Chiang Mai.

Kata sumber itu, wang itu dipercayai diperoleh daripada syarikat persendirian di mana suspek utama kes didakwa akan menghasilkan 100,000 kemeja T untuk diedarkan pada program "Bike for Dad".

Harga setiap kemeja T itu adalah 280 bath walaupun kos untuk mengeluarkannya hanya separuh daripada harga itu.

Difahamkan, pegawai kanan pasukan keselamatan itu menipu kerabat diraja Thai untuk mendapatkan sokongan pengusaha beberapa ahli perniagaan negara itu.

Setakat ini, Perdana Menteri Thailand, Prayut Chan-o-cha mengesahkan pihak tentera turut terlibat menjalankan siasatan kes berkenaan.

"Siasatan masih berjalan dan menunjukkan perkembangan," katanya ringkas.

Turut terlibat dalam kes berkenaan adalah tukang tilik nasib terkemuka, Suriyan Sucharitpolwong yang juga salah seorang suspek yang mendorong tuntutan palsu itu dilakukan untuk mendapatkan habuan daripada pengusaha bisnes berkenaan.

Sehingga kini, Suriyan adalah seorang daripada tiga individu yang ditahan mengikut Seksyen 112 Kanun Jenayah.

Dua suspek lain adalah kenalan Suriyan iaitu Jirawong Watthanathewasilp dan Mejar Prakrom Warunprapa, pegawai teknologi polis yang didakwa membunuh diri ketika dalam tahanan.

Sementeran itu, Ketua Polis Thailand, Jeneral Chakthip Chaijinda pula mengesahkan pihaknya menerima peletakan jawatan Prawut yang dikemukakan pada 29 Oktober.

Terdahulu, Jurucakap Timbalan Ketua Polis, Mejar Jeneral Piyapan Pingmuang memberitahu, siasatan yang dijalankan termasuk penglibatan antara 40-50 pegawai tentera berkaitan kes berkenaan.





Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain