suria

1 Jun: Wilayah Anhui Tutup Tanah Kubur, Mayat Dibakar

Upacara membakar mayat dianggap boleh menjimatkan penggunaan tanah di Wilayah Anhui, China.
Mulai 1 Jun ini, kematian yang didaftarkan di Wilayah Anhui, China tidak dibenarkan untuk mengadakan upacara pengebumian, sebaliknya mayat penduduknya diarah supaya dibakar.

Langkah itu dikatakan bagi menangani masalah  kekurangan tanah.

Berikutan arahan itu, semua tanah perkuburan di wilayah itu akan ditutup selepas 31 Mei ini kerana upacara pengebumian disifatkan menggunakan banyak ruang.

Sehubungan itu, mulai Ahad ini, pihak berkuasa mengarahkan semua kematian wajib dibakar mayatnya, manakala semua keranda dimusnahkan.

Bagaimanapun, Mail Online melaporkan banyak pihak menentang peraturan baharu itu terutama di luar bandar.

Malahan, direkodkan sekurang-kurangnya tujuh kes bunuh diri membabitkan warga emas supaya dapat dikebumikan seperti mana nenek moyang mereka, bukannya dibakar.

Bagaimanapun, pihak berkuasa tempatan wilayah itu menafikan adanya kejadian bunuh diri berikutan peraturan baharu yang akan dikuatkuasa 1 Jun ini.

Seorang warga tua berkata: "Adalah sukar untuk kami menerima dasar baharu ini, sepatutnya kerajaan mengambil masa lama untuk mempertimbangkan perkara ini, bukannya melaksanakannya dalam masa singkat."

Selain itu, bagi menggalakan orang ramai mematuhi peraturan bakar mayat itu, kerajaan wilayah itu menawarkan pampasan antara 1,000 hingga 1,500 yuan kepada setiap penduduk yang menyerahkan keranda buatan sendiri sebelum akhir minggu ini.


bakar mayat, China, tanah perkuburan

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain