suria

Turki Umum Beberapa Pembaharuan Berhubung Etnik Kurdish

ANKARA: Perdana Menteri Turki, pada Isnin mengumumkan beberapa pembaharuan yang menyaksikan masyarakat minoriti Kurdish di negara itu memperolehi hak-hak tertentu yang mereka perjuangkan selama ini.

Recep Tayyip Erdogan berkata, peraturan yang melarang parti-parti politik pro-Kurdish dan beberapa parti kecil yang lain daripada bertanding kerusi parlimen akan dipinda sementara bahasa Kurdish akan dibenarkan untuk diajar di sekolah-sekolah swasta dan persendirian.

Larangan wanita memakai tudung di institusi-institusi awam juga katanya akan dipinda.

"Ini adalah saat-saat yang bersejarah dan paling penting," kata Erogan dalam satu sidang akhbar khas yang diadakan di sini.

Selain itu, nama Kurdish juga akan dibenar digunapakai di bandar-bandar tertentu.

Begitu juga dengan tulisan Kurdish yang selama ini diharamkan akan dibenarkan semula untuk digunapakai secara sah di negara itu.

Kerajaan Turki telah pun mencapai perjanjian damai dengan Kurdistan Workers' Party (PKK) tetapi rundingan lanjut kemudiannya terhenti seketika.

Pada Mac lalu, pemimpin PKK yang dipenjarakan, Abdullah Ocalan mengisytiharkan genjatan senjata dengan kerajaan Turki selepas berbulan-bulan mengadakan rundingan sulit.

Seramai 40,000 orang telah terkorban sejak perang meletus antara etnik Kurdish dengan etnik Turki di negara itu 30 tahun yang lalu.

PKK sebelum ini dilabel sebagai pertubuhan pengganas oleh benua Eropah dan diharamkan di Turki.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain